Sokong rundingan diplomatik M'sia-Myanmar hantar pulang pelarian - Khuzaire


KEADILAN Cabang Alor Gajah, Melaka menyokong usaha diplomatik Kerajaan Malaysia bersama Myanmar dalam menangani isu warga Myanmar di negara ini, termasuk pelaksanaan fasa pertama penghantaran pulang 1,476 individu ke negara asal.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Melaka, Mohd Khuzaire Mohd Kamal berkata, perkembangan itu menunjukkan isu kompleks yang telah berlarutan sekian lama boleh ditangani menerusi rundingan dan kerjasama antara kerajaan.
"Perkembangan ini membuktikan bahawa sesuatu isu yang kompleks boleh ditangani melalui rundingan, kerjasama diplomatik dan kesepakatan antara kerajaan, tanpa mengabaikan kepentingan serta kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar itu adalah sebahagian daripada proses secara berperingkat susulan persetujuan Malaysia dan Myanmar untuk menerima semula sehingga 5,000 warga negara berkenaan.
Mohd Khuzaire turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas usaha diplomatik dan rundingan bersama Kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, isu warga asing tanpa dokumen dan pelarian bukan perkara mudah kerana membabitkan pelbagai aspek termasuk keselamatan negara, penguatkuasaan undang-undang, hubungan diplomatik.
"Kita memahami bahawa isu warga asing tanpa dokumen dan pelarian bukanlah isu yang mudah. Ia melibatkan pelbagai aspek termasuk keselamatan negara, penguatkuasaan undang-undang, hubungan diplomatik, kemanusiaan dan tanggungjawab negara asal terhadap rakyatnya.
"Justeru, KEADILAN Cabang Alor Gajah berpandangan bahawa proses penghantaran pulang hendaklah diteruskan secara teratur, berperingkat dan selamat, dengan memastikan setiap individu dikenal pasti serta diproses mengikut undang-undang dan prosedur yang ditetapkan," katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan prinsip kemanusiaan perlu terus diberi perhatian dalam pelaksanaan proses berkenaan.
"Ketegasan dalam menjaga kepentingan negara dan penguatkuasaan undang-undang boleh berjalan seiring dengan nilai kemanusiaan," katanya.
Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah itu berharap persetujuan antara Malaysia dan Myanmar itu menjadi langkah penting ke arah penyelesaian jangka panjang, khususnya dalam memastikan tanggungjawab terhadap warga Myanmar dapat dipikul dengan sewajarnya oleh negara asal mereka.
Mohd Khuzaire berkata, KEADILAN Cabang Alor Gajah akan terus menyokong usaha kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat, keluhuran undang-undang serta nilai kemanusiaan.
Untuk rekod, kerajaan Malaysia mula menghantar pulang warga Myanmar dan pelarian Rohingya mulai semalam secara berperingkat.




Comments