'Apa pendirian Pas dalam krisis Negeri Sembilan?'


Pas perlu menjelaskan pendiriannya berhubung kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan, khususnya berhubung kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, soal Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Danish Nazran Murad.
Beliau yang juga mantan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu berkata, sebelum ini beberapa pihak lantang menyuarakan pendirian sehingga mencetuskan perkembangan politik semasa, namun kini Pas dilihat tidak memberikan penjelasan terbuka.
"Sikap Pas yang masih berdiam diri menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar parti itu. Yang berkobar-kobar dan buat sidang media sebelum ini siapa? Datuk Jalaluddin Alias. Tetapi sekarang Pas duduk diam sahaja.
"Sudah lama Pas berdiam diri. Kita nak tengok juga bagaimana keputusan Pss dalam perkara ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Danish, Pas tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri ketika rakyat memerlukan penjelasan mengenai perkembangan politik negeri, terutama apabila kedudukan Menteri Besar dan sokongan majoriti menjadi persoalan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Pas akan terus menyokong kepimpinan sedia ada atau mempunyai pendirian berbeza dalam perkembangan politik yang sedang berlaku.
Katanya, Umno juga perlu memperjelaskan pendiriannya, khususnya selepas timbul persoalan mengenai sokongan terhadap Menteri Besar susulan perkembangan melibatkan institusi istana.
"Kita nak tengok juga Umno ini bagaimana. Dia nak sokong Menteri Besar atau hendak menjatuhkan Menteri Besar? Kita juga nak tengok bagaimana keputusan Pas," katanya lagi.
Danish menambah, kemelut politik berkenaan bukan sekadar membabitkan persaingan atau kedudukan parti politik, sebaliknya turut menimbulkan persoalan mengenai kelancaran pentadbiran negeri apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat bersidang.
Katanya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan khususnya apabila pembentangan Belanjawan Negeri turut terjejas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib penjawat awam serta penyaluran peruntukan dan bantuan yang sepatutnya dinikmati rakyat.
"Yang paling dirugikan ialah rakyat. Sebab kita tengok dewan tak boleh nak bersidang. Waktu bajet pun tak boleh nak dibentangkan. Nasib penjawat awam macam mana? Dana-dana yang sepatutnya sampai kepada rakyat macam mana dalam masa terdekat?" katanya.




Comments