top of page

Kerajaan Johor perlu dedah kontraktor, status, kelewatan projek

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
12 minutes ago
2 min read
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berbahas di DUN Johor kelmarin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berbahas di DUN Johor kelmarin

Kerajaan Johor perlu meningkatkan ketelusan pelaksanaan projek pembangunan negeri dengan mendedahkan maklumat kontraktor, jadual asal pelaksanaan, kemajuan sebenar serta sebab kelewatan projek bagi memastikan setiap peruntukan awam dibelanjakan secara bertanggungjawab.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, rakyat yang berdepan projek terbengkalai atau kerja pembangunan tertangguh berhak mengetahui pihak yang bertanggungjawab serta bila projek berkenaan akan disambung dan disiapkan.


Menurutnya, ketelusan bukan ancaman kepada kerajaan, sebaliknya menjadi asas penting untuk membina kepercayaan rakyat terhadap pengurusan kewangan dan pembangunan negeri.


"Penduduk yang melihat tapak projek ditinggalkan pekerja sekian lama sepatutnya boleh mengetahui siapa pemegang kontraknya dan bila kerja akan disambung," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Johor 2027 baru baru ini.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri perlu menyediakan satu mekanisme pemantauan yang membolehkan rakyat mengikuti perkembangan setiap projek pembangunan, termasuk mengetahui peruntukan yang diluluskan dan tahap pelaksanaannya.


Sehubungan itu, Maszlee mencadangkan penubuhan Mekanisme Pemantauan Rakyat Johor yang merangkumi empat komponen utama, antaranya Papan Pemuka Bajet Terbuka bagi memaparkan maklumat projek pembangunan secara terperinci.


"Papan Pemuka Bajet Terbuka (Dashboard) yang menyenaraikan peruntukan, kontraktor, jadual asal, kemajuan sebenar dan sebab kelewatan bagi setiap projek pembangunan," ujarnya.


Selain itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menyediakan saluran aduan berasaskan lokasi dengan tempoh jawapan yang ditetapkan agar penduduk dapat mengemukakan masalah serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa.


Dalam ucapannya, Maszlee turut membangkitkan isu kelewatan projek penambahan lorong Lebuhraya Perling-Pasir Gudang yang menurut aduan penduduk sekitar Taman Damansara Aliff telah lama tertangguh.


Beliau meminta kerajaan memberikan penjelasan mengenai status kontrak, punca kelewatan dan tarikh sasaran projek berkenaan disiapkan.


"Dewan ini memerlukan jawapan tentang status kontrak, punca kelewatan dan tarikh sasaran siap," katanya.


Beliau turut meminta penilaian teknikal dibuat terhadap cadangan pembinaan jejambat di laluan menurun Mount Austin, selain memastikan hasil penilaian serta keputusan kerajaan dimaklumkan kepada penduduk setempat.


Maszlee menegaskan bahawa setiap ringgit wang awam perlu disertai amanah dan akauntabiliti, memandangkan pembangunan negeri sepatutnya membawa manfaat yang boleh dirasai rakyat.


"Ketelusan bukan ancaman kepada kerajaan, ia perisai kepercayaan rakyat," katanya lagi.


Beliau turut meminta kerajaan membawa laporan kemajuan projek serta agihan manfaat kepada Dewan Negeri dalam tempoh enam bulan sebagai langkah memastikan pelaksanaan belanjawan dapat dipantau secara berterusan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page