A Samad Said pejuang hak rakyat - Fahmi


Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said bukan sekadar tokoh seni dan kesusasteraan, sebaliknya seorang pejuang kemanusiaan yang berani berdiri bersama rakyat dalam menyuarakan tuntutan keadilan dan hak masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semangat dan jiwa perjuangan Allahyarham dalam isu kemanusiaan serta hak rakyat merupakan antara perkara yang paling meninggalkan kesan kepada dirinya.
Beliau berkata, satu daripada kenangan paling sukar dilupakan ialah keberanian Allahyarham menyertai demonstrasi Bersih bagi menyampaikan memorandum, meskipun berdepan keadaan yang tidak selesa.
"Saya juga sangat terkesan mengingati semula semangat dan jiwa Allahyarham, terutama dalam isu-isu kemanusiaan dan hak rakyat," katanya ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Mengimbas kembali peristiwa berkenaan, Fahmi berkata, Allahyarham pernah kehilangan kasut ketika menyertai demonstrasi Bersih di sekitar Jalan Petaling, Kuala Lumpur, namun sasterawan itu tetap meneruskan perjalanan dengan berjalan di atas jalan raya yang panas demi menyampaikan memorandum.
"Saya ingat satu ketika dahulu Allahyarham pernah bersama-sama turun untuk satu demonstrasi Bersih.
"Saya ingat lagi waktu itu Allahyarham kehilangan kasut dan berjalan di atas aspal yang panas di Kuala Lumpur berdekatan dengan Petaling Street untuk menyampaikan memorandum pada waktu itu," katanya.
Menurut Fahmi, tindakan tersebut memperlihatkan bahawa perjuangan Allahyarham tidak terhad kepada penghasilan karya sastera, sebaliknya turut diterjemahkan melalui keberanian dan penglibatan secara langsung dalam isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Katanya, Allahyarham merupakan seorang seniman yang karya-karyanya dikagumi dan dihormati ramai, selain meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.
"Allahyarham bukan sekadar seorang seniman yang karya-karyanya sangat dikagumi, dihormati dan meninggalkan kesan bagi ramai," katanya lagi.




Comments