KEADILAN Sarawak tidak bertanding PRN DUN ke-13


KEADILAN Sarawak memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai menghormati semangat kerjasama politik dan muafakat bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh Penasihat KEADILAN Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Mahmud Epah, keputusan itu dibuat selaras dengan ketetapan MPN KEADILAN Sarawak setelah mengambil kira kepentingan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, KEADILAN Sarawak sentiasa mendukung prinsip demokrasi, agenda reformasi, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, selain menjunjung semangat kerjasama politik yang telah dibina bersama GPS.
"Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan," kata mereka.
Mereka berkata, keputusan itu juga bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut kenyataan itu lagi, KEADILAN Sarawak mahu memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri itu terus diberikan perhatian.
Dalam pada itu, MPN KEADILAN Sarawak turut mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat supaya mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan.
"MPN KEADILAN Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat di negeri Sarawak agar mematuhi dan menghormati ketetapan ini serta terus menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya GPS," katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu menegaskan keputusan tidak bertanding itu tidak bermakna KEADILAN akan mengetepikan tanggungjawabnya kepada rakyat Sarawak.
"KEADILAN Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini," kata mereka lagi.




Comments