Kerajaan MADANI lulus lebih 7,000 projek di kawasan Parlimen pembangkang


Sebanyak RM451.098 juta sudah diluluskan Kerajaan MADANI bagi pelaksanaan 7,059 projek di 66 kawasan Parlimen di wakili pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi tempoh Januari 2023 hingga 31 Oktober lalu.
"Ingin saya menegaskan kerajaan tidak meminggirkan keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen pembangkang.
"Pembangunan di kawasan-kawasan terbabit dilaksanakan melalui pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan berdasarkan keperluan pembangunan setempat serta keutamaan ditetapkan," katanya dipetik.
Mustapha memaklumkan perkara itu pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, semalam.
Sementara itu, beliau mendedahkan secara keseluruhan RM2.561 bilion sudah diluluskan di seluruh negara menerusi penyelarasan ICU JPM membabitkan 33,653 kelulusan sumbangan dan projek fizikal.
Daripada jumlah itu, RM567.983 juta diluluskan bagi sumbangan, manakala RM1.993 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek fizikal.
Sebanyak RM2.363 bilion daripada keseluruhan peruntukan itu telah dibelanjakan, manakala baki RM197.553 juta membabitkan sumbangan dan projek yang masih dalam pelaksanaan bagi tahun ini.
"Semua perbelanjaan, peruntukan dan pelaksanaan projek adalah mengikut tatakelola dan peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa.
"ICU JPM turut memantau setiap perbelanjaan peruntukan dan pelaksanaan projek agar menepati keperluan rakyat,"tambahnya.
Beliau juga menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuhkan mekanisme penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan projek bagi memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum serta memberi impak nyata kepada rakyat.




Comments