62 projek pembangunan infrastruktur pendidikan siap di Selangor


Sebanyak 62 projek pembangunan infrastruktur pendidikan membabitkan 50 sekolah di Selangor sudah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata pembangunan infrastruktur perlu bergerak seiring dengan pelaksanaan dasar serta sistem pendidikan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai murid, guru dan warga sekolah.
Justeru, penyerahan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di sembilan daerah di negeri itu merupakan langkah bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran serta keselamatan persekitaran sekolah.
"Jadi saya melihat bahawa apa yang kita sedang laksanakan ini akan mempunyai impak yang besar kepada pendidikan.
"Kesan infrastruktur ini memberi kesan kepada pendidikan anak-anak. Sebab itu kita tidak boleh ambil mudah soal infrastruktur ini," katanya dipetik laporan media.
Fadhlina berkata begitu ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Di Bawah Program Cakna MADANI Di Negeri Selangor Oleh Jabatan Kerja Raya Kepada Kementerian Pendidikan pada Selasa.
Projek merangkumi pembinaan bangunan modular menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB) bertujuan menyokong keperluan pembelajaran, aktiviti kokurikulum, perhimpunan dan program sekolah.
"Aspek keselamatan dan keselesaan persekitaran pembelajaran perlu diberi keutamaan, termasuk memastikan aduan berkaitan kemudahan sekolah ditangani segera.
"Apabila berlaku aduan-aduan, kita kena cepat selesaikan. Isu-isu kondusif, tempat belajar anak-anak kita dan soal keselamatan secara keseluruhan tidak boleh diambil secara ringan atau mudah," tegas Fadhlina.




Comments