top of page

'Pak Samad mendekatkan kita kepada insan tersisih, agar kita memperjuang harapan mereka'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 minutes ago
1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa hiba dan sedih atas pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said yang disifatkan sebagai tokoh sastera yang banyak menyumbang kepada masyarakat menerusi karya dan perjuangannya.


Anwar berkata, novel agung Salina (1961) karya Allahyarham mendekatkan masyarakat kepada kehidupan golongan yang sering tersisih, sekali gus mengajak pembaca memahami penderitaan dan memperjuangkan harapan mereka.


"Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka," katanya dalam hantaran di media sosial.


Menurut Anwar, kasih Allahyarham terhadap rakyat akan terus hidup menerusi karya-karyanya, selain keteguhan beliau dalam membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan.


Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan doa agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT serta keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan.


"Azizah dan saya menzahirkan rahmat ke atas ruh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.


"Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan ruhnya diberi tempat istimewa di sisi-Nya," katanya.


Untuk rekod, Samad mula terlibat aktif dalam memperjuangkan derita rakyat ditindas rejim BN pada 2011 apabila pada 9 Julai 2011 beliau menyertai demonstrasi BERSIH 2.0 dan berjalan kira-kira lapan kilometer, sebahagiannya tanpa kasut selepas kasutnya hilang di KL Sentral


Samad juga memperkenalkan bantahan secara pasif, iaitu 'duduk bantah' pada demo BERSIH 3.0 setahun selepas itu.


Beliau pernah menjadi Pengerusi Bersama BERSIH 2.0 bersama Datuk S. Ambiga pada 2011.


Sebelum itu, Samad juga terlibat dalam demonstrasi menentang PPSMI pada 2009.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page