Tangani hotspot banjir di Selangor dengan berkesan, audit sistem saliran - Yahya


Kerajaan Negeri Selangor digesa menilai semula keberkesanan perancangan pembangunan, sistem saliran dan pelaksanaan projek tebatan banjir susulan kejadian banjir yang terus melanda beberapa kawasan di negeri itu.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, sebanyak 56 hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko dikenal pasti di negeri berkenaan.
Katanya, Klang merekodkan jumlah hotspot tertinggi dengan 13 kawasan, diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (sembilan).
Beliau berkata, walaupun Kerajaan Negeri memperuntukkan RM36.45 juta bagi melaksanakan 47 projek tebatan banjir menerusi Belanjawan Selangor 2027, rakyat mahu melihat hasil pelaksanaan yang mampu mengurangkan risiko banjir.
"Rakyat bukan sekadar mahu mendengar angka peruntukan. Mereka mahu melihat hasil dan penyelesaian yang benar-benar mengurangkan risiko banjir.
"Persoalan besar yang perlu dijawab ialah, adakah sistem saliran Selangor berkembang seiring dengan kepesatan pembangunan negeri?" katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pertumbuhan pesat pembangunan bangunan, kawasan perumahan dan perindustrian perlu disertai peningkatan kapasiti sistem saliran bagi mengelakkan tekanan terhadap aliran air.
Katanya, pertambahan permukaan konkrit tanpa kapasiti saliran mencukupi berpotensi meningkatkan risiko banjir, justeru masalah itu tidak boleh dilihat hanya dari sudut longkang tersumbat.
"Masalah banjir bukan sekadar longkang tersumbat. Ia melibatkan keseluruhan sistem daripada parit, pembetung, sungai, kolam takungan hingga saluran keluar.
"Apa gunanya membesarkan longkang jika parit utama tidak mampu menampung aliran?" katanya.
Sehubungan itu, Mohd Yahya mengemukakan lima cadangan tindakan kepada Kerajaan Negeri, termasuk melaksanakan audit menyeluruh sistem saliran dari kawasan hulu hingga hilir bagi mengenal pasti kelemahan kapasiti dan laluan aliran air.
Beliau turut menggesa kawalan pembangunan diperketatkan dengan mewajibkan kajian impak saliran dan tadahan air, termasuk mengambil kira kesan kumulatif pembangunan terhadap kawasan sekitar.
Selain itu, penyelenggaraan berkala longkang, parit, pembetung dan sungai perlu diperkukuh tanpa menunggu kejadian banjir sebelum tindakan diambil.
Katanya, projek tebatan banjir di semua hotspot juga perlu dipercepatkan dengan menetapkan sasaran pelaksanaan dan keberkesanan yang boleh diukur.
Kerajaan Negeri turut disaran memanfaatkan teknologi pintar seperti sensor paras air, pintu kawalan automatik, stesen pam dan sistem amaran awal bagi meningkatkan keupayaan pengurusan banjir.
Dalam masa sama, beliau meminta kerajaan negeri menerbitkan status kemajuan projek tebatan banjir secara terbuka, merangkumi jumlah peruntukan, tempoh siap serta keberkesanan projek selepas dilaksanakan.
"Kita menyokong pembangunan Selangor, tetapi pembangunan tidak boleh mengorbankan keselamatan rakyat. Setiap peruntukan mesti menghasilkan penyelesaian, bukan sekadar pengumuman.
"Ukuran kemajuan negeri bukan hanya pada ketinggian bangunan dan nilai pelaburan, tetapi juga kemampuan melindungi rakyat daripada ancaman banjir," katanya.
Beliau menegaskan pembangunan bandar perlu bergerak seiring dengan pembinaan sistem saliran yang berdaya tahan demi keselamatan penduduk.
"Jangan hanya bina bandar yang tinggi, bina juga sistem saliran yang berdaya tahan. Rakyat mahu hasil, bukan sekadar janji," katanya lagi.




Comments