KPM digesa lantik pekerja sosial sekolah, tangani isu buli, keciciran


Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mempertimbangkan penempatan Pekerja Sosial Sekolah (PSS) bagi memperkukuh sistem sokongan murid khususnya dalam menangani masalah sosial yang tidak dapat diselesaikan melalui pendekatan pendidikan dan disiplin semata-mata.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean berkata sekolah ketika ini berhadapan pelbagai isu membabitkan kemiskinan, pengabaian, penderaan, konflik keluarga, buli dan keciciran yang memerlukan pengurusan kes secara profesional.
Menurutnya guru, kaunselor dan pentadbir sekolah mempunyai peranan masing-masing namun masih terdapat jurang kepakaran dalam mengenal pasti, menilai serta mengurus masalah sosial yang mempengaruhi kehidupan dan pembelajaran murid.
"Masalah sosial tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan disiplin semata-mata. Tanpa pemahaman terhadap faktor-faktor ini, sekolah mungkin hanya menangani simptom sesuatu masalah tanpa menyelesaikan punca sebenar.
"Di sinilah kepakaran pekerja sosial sekolah diperlukan," katanya dalam kenyataan.
Ker Chean berkata pekerja sosial sekolah mempunyai latihan khusus dalam penilaian keperluan sosial, pengurusan kes, intervensi keluarga, advokasi, perlindungan dan penyelarasan bantuan.
Jelasnya mereka juga boleh bertindak sebagai penghubung antara murid, keluarga, pihak sekolah, komuniti dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata penempatan PSS tidak bertujuan mengambil alih tugas guru atau kaunselor sebaliknya melengkapkan sistem sokongan sedia ada dengan kepakaran khusus dalam menangani dimensi sosial sesuatu masalah.
Sebagai permulaan, kata beliau penempatan boleh dilaksanakan berdasarkan kluster sekolah, tahap risiko, bilangan murid dan beban kes sebelum diperluas secara berperingkat.
"Kerajaan juga boleh merealisasikan setiap sekolah mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja sosial sendiri sebagai perancangan jangka panjang bergantung kepada keperluan," katanya.
Beliau menegaskan usaha itu merupakan pelaburan penting dalam kesejahteraan murid dan masa depan negara kerana kejayaan sistem pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.
"Peranan mereka bukan untuk mengambil alih tugas guru atau kaunselor. Sebaliknya, mereka melengkapkan sistem sokongan sedia ada dengan menyediakan kepakaran dalam menangani dimensi sosial sesuatu masalah," katanya.




Comments