Kerajaan MADANI setahun berbaki, mesti bekerja lebih pantas – Saifuddin


Kerajaan MADANI perlu memanfaatkan sepenuhnya tempoh setahun berbaki bagi mempercepat pelaksanaan reformasi, memperkukuh ekonomi dan memastikan hasil pembangunan dapat dirasai rakyat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh itu perlu digunakan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran selepas empat tahun kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, empat keutamaan menjadi asas pentadbiran kerajaan sepanjang tempoh berkenaan, iaitu kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat dan tatakelola yang baik telah berjaya dilaksanakan.
"Empat keutamaan menjadi asas pentadbiran Kerajaan dalam tempoh ini.
"Kestabilan politik bagi memelihara kestabilan negara dan perpaduan rakyat agar agenda pembangunan dapat diteruskan.
"Selain itu, kemakmuran ekonomi melalui usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dengan membantu golongan memerlukan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, aspek tatakelola yang baik pula merangkumi usaha memerangi rasuah, mengurangkan ketirisan serta memastikan pentadbiran kerajaan telus dan bertanggungjawab.
Saifuddin berkata, PH menghargai pencapaian yang diraih sepanjang empat tahun pentadbiran Anwar, namun mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki serta harapan rakyat yang belum dipenuhi.
"Kita sedar masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan harapan rakyat yang belum dipenuhi. Kerajaan mesti terus mendengar teguran, memperbaiki kelemahan dan bekerja dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian sempena mesyuarat berkala Majlis Setiausaha PH yang berlangsung hari ini, yang turut menandakan ulang tahun keempat Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan, kesabaran serta teguran dan kritikan yang membantu kerajaan memperbaiki pentadbiran.
"Empat tahun kita membina asas. Dalam setahun berbaki, kita mesti bekerja lebih pantas agar rakyat segera merasai hasilnya.
"Keutamaan kita tetap rakyat dan masa depan Malaysia," katanya.




Comments