Pemergian Pak Samad kehilangan besar dunia sastera negara - Fahmi


Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad disifatkan sebagai kehilangan besar buat dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Allahyarham sepanjang hayatnya telah banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa dan sastera negara, bukan sahaja menerusi penulisan malah rakaman realiti kehidupan serta pergolakan masyarakat melalui karya-karyanya.
Menurutnya, karya agung Allahyarham seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi menjadi antara khazanah sastera negara yang terus dibaca dan dihayati sehingga kini.
"Di dalamnya tersimpan kisah manusia, kepayahan hidup, perjuangan dan realiti masyarakat yang akan tetap dibaca, dihayati dan dikenang oleh generasi demi generasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, meskipun jasad seorang sasterawan telah pergi, suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan terpadam selagi karya-karyanya terus menjadi sumber inspirasi masyarakat.
"Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin telah pergi, namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam.
"Selagi karya-karya Pak Samad terus dibaca dan menjadi sumber inspirasi, selagi itulah nama Pak Samad akan hidup dalam ingatan kita," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarham.
Fahmi mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman.




Comments