JS-SEZ berkembang pesat: Bagaimana pendidikan rakyat Johor? - Dr Maszlee


Pembangunan pesat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) perlu disusuli persediaan pendidikan yang lebih agresif bagi memastikan anak tempatan tidak sekadar menjadi penonton, sebaliknya mampu mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal diwujudkan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, pembangunan JS-SEZ dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor teknologi, kewangan, logistik, pusat data dan pembuatan termaju yang memerlukan penguasaan sains, matematik serta Bahasa Inggeris.
Oleh itu ujarnya, tanpa persediaan pendidikan yang sewajarnya, anak tempatan berisiko terpinggir daripada peluang ekonomi berkenaan, malah terpaksa bersaing dengan tenaga kerja luar untuk mengisi pekerjaan yang diwujudkan di negeri sendiri.
"Jumaat lepas (20 November), saya telah bertanya di Dewan Negeri Johor sama ada Kerajaan Negeri bercadang memperluas Program Dua Bahasa (DLP) ke semua sekolah di Johor, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seperti yang sedang dilakukan Wilayah Sarawak.
"Jawapannya, Kerajaan Negeri pada prinsipnya menyokong. Pada masa ini, hanya 56 buah sekolah di Johor yang melaksanakan DLP, iaitu 19 sekolah rendah dan 37 sekolah menengah. Peluasan pula katanya hanya boleh dilakukan secara berperingkat, mengikut kriteria dan syarat KPM.
"Saya hargai jawapan itu, tetapi kita perlu bertanya apakah kita telah bergerak secara berstrategi dan cukup pantas? Hakikatnya, JS-SEZ sedang membuka pintu, adakah anak Johor bersedia masuk?" tanya beliau dalam satu kenyataan.
Mantan Menteri Pendidikan itu menambah, pekerjaan dalam bidang teknologi, kewangan, logistik, pusat data dan pembuatan termaju sememangnya menuntut penguasaan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Beliau berpendapat, sekiranya anak-anak tempatan tidak bersedia, maka peluang tersebut akan diisi oleh orang lain.
"Di waktu ini sahaja, ratusan ribu rakyat Johor bekerja di Singapura. Bagi pekerja kolar biru, kemampuan berbahasa dan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris yang fasih pula bererti pangkat yang lebih baik dan gaji yang tinggi.
"Ini akan membantu rakyat Johor menjana pendapatan bermaruah. Memperkasakan Bahasa Inggeris tidak bermakna meminggirkan Bahasa Melayu.
"Bahasa Melayu ialah jati diri kita, Bahasa Inggeris ialah kunci untuk kita meneroka dunia. Kedua-duanya boleh dan mesti berjalan seiring," ujarnya lagi.
Dalam kenyataan sama, Dr Maszlee turut menyeru Kerajaan Johor agar menyediakan pelan hala tuju DLP Johor yang jelas, bersasar dan bertempoh, dengan kerjasama KPM melalui JPN Johor.
Pelan itu katanya, perlu disertai peruntukan negeri untuk latihan guru dan kemudahan sekolah.
"Jangan biarkan anak Johor hanya menjadi penonton kepada kemakmuran di halaman rumah sendiri," ujarnya.




Comments