Kunjungan Dr Ali Muhyiddin bertemu Anwar teguhkan agenda masa depan umat Islam


Pertemuan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Profesor Dr Ali Muhyiddin al-Qaradhaghi, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual berlangsung sepanjang lawatannya ke Malaysia, sememangnya dinanti-nantikan sebagai wadah membincangkan agenda dan masa depan umat Islam.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan berkata, kunjungan Sheikh Ali ke negara ini turut membawa makna tersendiri apabila menghimpunkan seorang pemimpin Islam bertaraf dunia iaitu PM Anwar dan Ketua Ulama berkenaan bagi bertukar pandangan mengenai isu dan kepentingan umat Islam.
Amidi berkata, lawatan Sheikh Ali dari 23 hingga 30 November ini, turut membuka ruang kepada pelbagai kelompok masyarakat untuk berdialog dan bertukar pandangan dengan tokoh ulama berkenaan, termasuk pemimpin masyarakat bukan Islam.
"Sheikh Ali merupakan tokoh ilmuwan Islam yang disegani, khususnya dalam bidang Fiqh Muamalat berkaitan perbankan dan urus niaga serta Fiqh Mizan yang menekankan aspek keseimbangan, selain meneruskan legasi kesederhanaan Allahyarham Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, pengasas dan presiden pertama kesatuan itu.
"Ketokohan Sheikh Ali Qarrahdaghi memang tidak dinafikan. Beliau seorang yang alim dalam pelbagai bidang khususnya Fiqh Muamalat (Perbankan dan Urusniaga) dan Fiqh Mizan (Keseimbangan).
"Beliau juga seperti gurunya Allahyarham Yusuf al-Qaradhawi amat prihatin dengan nasib umat Islam di Palestin," katanya menerusi satu kenyataan.
BiPPA KEADILAN turut mengalu-alukan kehadiran Sheikh Ali ke Malaysia sebelum beliau dijadualkan berangkat ke Jakarta pada 30 November ini bagi meneruskan siri lawatan ke rantau Asia Tenggara.
Sheikh Ali berada di Malaysia bagi memenuhi undangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyampaikan ucaptama pada Forum Sarjana Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam ke-21 (ISSF 2026), yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 26 November ini di ibu negara.
Malam tadi, PM Anwar yang juga Presiden KEADILAN menerima Anugerah Ijazah Sanad Hadis Khas sebagai pengiktirafan ilmiah ulama antarabangsa terhadap sokongan beliau dalam perkembangan pengajian hadis bersanad di Malaysia.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh barisan ulama dan masyayikh musnidin antarabangsa yang diketuai Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.
Penyampaian anugerah berkenaan berlangsung sempena Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya.




Comments