top of page

Peguam Negara bantah semakan kehakiman tahanan rumah Najib

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
23 minutes ago
2 min read

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar keputusan membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.


Bantahan itu dibuat atas alasan keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar melalui proses kehakiman (non-justiciable).


Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara, bantahan berkenaan dibangkitkan ketika pendengaran kebenaran untuk semakan kehakiman pada 12 November lalu.


"Hujahan pihak-pihak akan didengar pada 17 Mac 2027. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil," kata kenyataan itu Facebook.


Permohonan Badan Peguam Malaysia berkenaan difailkan bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan kali ke-64 yang menjadi asas kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.


Badan Peguam menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara serta Najib sebagai responden.


Antara perkara yang dipohon ialah pengisytiharan bahawa keputusan dan tindakan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah itu tidak sah, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta melampaui bidang kuasa undang-undang.


Badan Peguam turut mempersoalkan sama ada tahanan rumah termasuk dalam pengertian pengampunan, penangguhan pelaksanaan hukuman atau pengurangan hukuman sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.


Pertikaian mengenai tahanan rumah Najib sebelum ini turut melalui beberapa peringkat perundangan susulan dakwaan kewujudan titah tambahan (addendum) yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di kediamannya.


Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta bagi kes SRC International.


Bagaimanapun, Najib kemudian mendakwa terdapat titah tambahan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.


Najib menerima pengampunan bersyarat pada 18 September 2026 yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan rumah.


Bagaimanapun, beliau hanya mula menjalani tahanan rumah pada 10 November 2026 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah berkaitan sekali gus membolehkannya meninggalkan Penjara Kajang dan pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page