top of page

Kerajaan kecualikan SST baja untuk bantu pesawah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
10 minutes ago
1 min read

Kerajaan MADANI melaksana beberapa intervensi bagi membantu pesawah berdepan kenaikan harga input pertanian.


Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, ia termasuk memberi pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi jenis baja kepada petani bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2027.

Selain pengecualian tersebut, kerajaan turut meningkatkan Insentif Pembajakan dan Penuaian Padi (IPKP) kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026.


Insentif membabitkan tambahan peruntukan kira-kira RM40 juta itu dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah dikekalkan menerusi Belanjawan 2027 dan diperluas ke Sabah serta Sarawak.


"Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut ditingkatkan kepada RM400 sebulan mulai April lalu, bagi membantu meringankan kos operasi kepada pengusaha layak.


"Memastikan kesinambungan bekalan baja dan racun bagi sektor tanaman makanan melalui saluran agihan sedia ada Pertubuhan Peladang Kebangsaan, termasuk Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB).


"Memperkukuh jaminan bekalan baja melalui libat urus dengan pembekal dan pengilang, dengan stok sedia ada dianggarkan mencukupi hingga akhir tahun ini.


"Selain itu, di bawah Bajet 2027, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi penyaluran baja foliar serta pemulihan tanah bagi kawasan sawah melebihi 10,000 hektar," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Selasa.


Chan sementara itu memaklumkan, kementerian belum menerima laporan rasmi mengenai penangguhan aktiviti penanaman susulan kenaikan harga input pertanian.


Bagaimanapun KPKM jelasnya akan terus memantau keadaan serta bersedia menyalurkan bantuan dan sokongan kepada petani terjejas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page