top of page

Bukan sekadar sasterawan, Samad Said pendidik jiwa bangsa - Anwar

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
6 minutes ago
2 min read
DS Anwar dan DS Fahmi menziarahi jenazah DS A Samad Said, malam tadi
DS Anwar dan DS Fahmi menziarahi jenazah DS A Samad Said, malam tadi

Negara kehilangan seorang tokoh besar sasterawan apabila pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan, bahasa dan pembinaan tamadun bangsa.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Allahyarham merupakan seorang tokoh yang gigih memperjuangkan seni, sastera dan bahasa Melayu, selain memainkan peranan penting sebagai pendidik bangsa.


Beliau berkata, hubungan persahabatan dengan Allahyarham terjalin sejak sekian lama, termasuk ketika beliau menjalani tempoh tahanan di Penjara Sungai Buloh apabila sasterawan itu tidak pernah melupakan dirinya.


"Saya kenal dia sangat lama. Sepanjang saya di Sungai Buloh, semua karya-karya dia pasti dia akan kirim kepada saya.


"Dia seorang yang gigih, pencinta seni, sastera dan juga pendidik bangsa," katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar, di Bangsar malam tadi.


Tambah Anwar, Allahyarham turut menunjukkan komitmen luar biasa dalam mempertahankan kedudukan sastera sebagai asas penting dalam kehidupan masyarakat dan pembinaan tamadun.


Katanya, sastera tidak seharusnya dianggap sebagai bidang khusus yang terpisah daripada kehidupan seharian, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada kekuatan intelektual dan budaya sesebuah bangsa.


"Dia gigih mempertahankan kecintaan terhadap bahasa dan sastera, dan menganggap bahawa sastera itu mesti dikuasai.


"Tidak seperti setengah anggapan bahawa sastera itu satu bidang khusus. Kehidupan bangsa dan pembinaan tamadun itu harus bersandar kepada kekuatan sastera," katanya.


Anwar turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pembaca yang luar biasa, dengan penguasaan ilmu dan kesungguhan mendalami pelbagai karya yang sukar ditandingi.


Beliau berkata, pengalaman melihat sendiri tabiat pembacaan Allahyarham memperlihatkan betapa seriusnya tokoh itu dalam menguasai ilmu pengetahuan.


"Saya belum jumpa seorang yang begitu gigih membaca. Saya melihat sendiri, tiap-tiap buku dibaca, dia mencatat-catat.


"Tiap buku yang kita sebut dan dia belum dapat, dia akan ambil. Sastera itu satu dunia dia, yang dia kuasai," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pemergian Allahyarham seharusnya menjadi peringatan kepada negara untuk terus mengangkat martabat tokoh sastera serta memastikan sumbangan mereka dihargai.


"Kita negara telah kehilangan seorang tokoh besar Sasterawan Negara. Dan negara kita juga harus memikirkan bagaimana untuk menaikkan tokoh besar sasterawan negara," katanya.


Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri serta seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page