Ulang tahun keempat pentadbiran PMX: Transformasi negara ke arah kegemilangan


ANALISIS BERITA: Empat tahun di bawah kepimpinan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim, landskap ekonomi negara telah melalui rencam transformasi ketara apabila Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 5.2%, ringgit semakin mengukuh dan kedudukan negara terus melonjak dalam penarafan global, sekali gus mencerminkan perubahan arah pembangunan serta daya saing negara di persada antarabangsa.
Sejak mengambil alih pentadbiran pada November 2022, kerajaan pimpinan PM Anwar yang juga Presiden KEADILAN memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi, pembaharuan fiskal dan penyusunan semula subsidi bagi memastikan kedudukan kewangan negara lebih mampan, selain memperluas bantuan serta peruntukan kepada rakyat.
Dari sudut ekonomi, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2% pada 2025, mengatasi unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2026 antara 4.0 hingga 5.0%.
Pada masa sama, kadar inflasi pula berjaya dikawal pada 1.8% setakat September 2025 berbanding 3.3% pada 2022, manakala kadar pengangguran menurun kepada 2.9% pada Ogos 2026, iaitu paras terendah dalam tempoh 10 tahun berbanding 3.9% pada 2022.
Pengukuhan ekonomi turut dapat dilihat menerusi prestasi ringgit yang meningkat daripada RM4.75 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada November 2022 kepada RM3.95 pada Mei 2026, sekali gus mencatatkan pengukuhan sebanyak RM0.80 bagi setiap AS$.
Rizab negara juga merekodkan peningkatan kepada AS$ 132.16 bilion pada Oktober 2026, iaitu kenaikan 15.3% berbanding AS$ 114.6 bilion pada 2022 dan merupakan paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Kalangan 30 ekonomi terbesar dunia
Dalam aspek kedudukan global, Malaysia turut menunjukkan peningkatan apabila naik daripada tangga ke-37 kepada ke-35 dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia, selain melonjak 17 anak tangga daripada kedudukan ke-32 kepada ke-15 dalam penarafan daya saing global.
Malaysia juga memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah daripada tangga ke-61 pada 2022 kepada ke-54 pada 2026, manakala defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada 5.6% kepada 3.6%, iaitu penurunan sebanyak dua mata peratusan.
Satu lagi langkah penting kerajaan ialah pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang membolehkan penjimatan keseluruhan RM15.5 bilion menerusi beberapa inisiatif, termasuk subsidi elektrik bersasar sebanyak RM5 bilion pada 2022, pengapungan harga ayam bernilai RM1 bilion pada November 2023 serta penyasaran subsidi diesel yang menjimatkan RM5 bilion mulai Julai 2024.
Langkah itu diteruskan menerusi rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang menyumbang penjimatan RM2.5 bilion pada September 2025 serta pemansuhan subsidi telur ayam bernilai RM1 bilion pada Mei 2025.
Penjimatan berkenaan turut disalurkan semula kepada sektor utama dan bantuan rakyat, dengan peruntukan pendidikan meningkat daripada RM52.6 bilion pada 2022 kepada RM66.2 bilion pada 2026, manakala kesihatan meningkat daripada RM32.4 bilion kepada RM48.8 bilion.
Peruntukan sektor pertanian menyaksikan peningkatan daripada RM4.8 bilion kepada RM6 bilion, sementara peruntukan bagi wanita dan keluarga bertambah daripada RM2.7 bilion kepada RM4.2 bilion dalam tempoh sama.
Rakyat nikmati pelbagai bantuan
Dalam usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat daripada RM6 bilion pada 2022 kepada RM15 bilion pada 2026.
Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan turut meningkat daripada RM450 juta kepada RM704 juta, manakala Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bertambah daripada RM400 juta kepada RM870 juta.
Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada era Kerajaan MADANI juga meningkat daripada RM1.6 bilion pada 2022 kepada RM3.1 bilion pada 2026.
Selain petunjuk ekonomi dan kedudukan antarabangsa, peningkatan pendapatan rakyat turut menjadi antara perubahan yang diketengahkan apabila median upah bulanan meningkat daripada RM2,424 pada 2022 kepada RM3,167, iaitu pertambahan RM743 atau 30.7%.
Keseluruhan pencapaian itu memperlihatkan usaha kerajaan dalam tempoh empat tahun oleh PM Anwar yang juga Menteri Kewangan bukan sahaja tertumpu kepada pemulihan ekonomi, malah turut merangkumi pembaharuan pengurusan kewangan negara, peningkatan daya saing global dan pengukuhan bantuan kepada rakyat.




Comments