top of page

Kandungan memudaratkan di media sosial: MCMC saman Google

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
21 minutes ago
2 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan tindakan mahkamah terhadap Google LLC menerusi dua saman berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di platform YouTube.


MCMC menuntut ganti rugi berjumlah RM300 juta bagi setiap saman, menjadikan keseluruhan tuntutan RM600 juta.


Dalam satu kenyataan, MCMC berkata kedua-dua kes berkenaan melibatkan perkara berbeza yang berkaitan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang terpakai.


"Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta, yang merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk (aggravated damages) dan RM100 juta ganti rugi teladan (exemplary damages)," menurut kenyataan itu.


Tuntutan berkenaan bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian memudaratkan susulan dakwaan kegagalan sistemik Google.


Ia turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa serta keperluan memastikan Google dipertanggungjawabkan dan ketidakpatuhan sama tidak berulang.


Saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian, scam dan penipuan.


MCMC berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.


Daripada jumlah laporan berkaitan perjudian itu, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh sehari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas.


"Sebanyak 35 laporan pula mengambil masa lebih daripada 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih daripada 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan," ujarnya.


MCMC berkata statistik berkenaan menunjukkan skala penyebaran kandungan memudaratkan di platform itu serta kelewatan dalam menangani kandungan berkenaan.


Saman kedua pula berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah statutori dan proaktif sewajarnya terhadap penerbitan semula pelbagai kandungan melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang dikenali sebagai Papagomo.


Kandungan berkenaan kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026.


MCMC menegaskan semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat lesen masing-masing.


"Memandangkan ini bukan kes sivil pertama yang dibawa oleh MCMC terhadap syarikat media sosial utama berhubung pelanggaran seumpamanya, MCMC menggesa semua penyedia platform supaya mengambil langkah yang sewajarnya untuk menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan di platform masing-masing," katanya.


Menurut MCMC, kedua-dua saman itu merupakan usaha berterusan suruhanjaya berkenaan untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman dalam talian serta menangani penyebaran kandungan yang sebelum ini menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page