PRN Melaka: PH sedia bertanding semua kerusi DUN


Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun menurut Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, keputusan akhir jumlah kerusi yang akan ditandingi bergantung kepada pertimbangan dan arahan kepemimpinan utama PH peringkat pusat.
"PH yang hampir pasti (ditandingi) dalam 18 hingga 21 kerusi. Itu hampir pasti iaitu 18 kerusi paling kurang dan 21 paling maksimum.
"Namun begitu, kalau keadaan terpaksa, mungkin kami bertanding di 28 kerusi, itu yang sedang dipertimbangkan," katanya dipetik laporan media.
Terdahulu beliau merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Melaka di Bukit Baru di Melaka pada Khamis petang.
Mengulas lanjut strategi PRN tersebut , Amirudin menjelaskan bahawa beberapa senario telah dirangka, termasuk bertanding secara bersendirian, membina perikatan yang lebih luas, mahupun menjalin kerjasama dengan parti-parti lain.
Semua kemungkinan termasuk bentuk kerjasama pilihan raya akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH selepas mengambil kira perkembangan rundingan dan keadaan semasa menjelang PRN.
"Kemungkinan persepakatan pilihan raya masih berlaku, namun ia tidak semestinya membabitkan pembentukan gabungan politik baharu.
"Jadi kami tidak mahu buat sebarang rumusan awal itu akan ditetapkan oleh kepemimpinan utama Majlis Presiden PH minggu depan," tambahnya.




Comments