Cakap lain buat lain, Umno, Pas tidak konsisten pertahan Raja-Raja Melayu


Sikap Umno dan Pas yang tidak konsisten dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dipersoalkan susulan kemelut politik di Negeri Sembilan yang didakwa menyaksikan percanggahan antara pendirian politik dengan tindakan pemimpin kedua-dua parti berkenaan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail (gambar) berkata Umno dan Pas sebelum ini sering menggunakan naratif mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu kononnya diancam serta dipengaruhi DAP demi membangkitkan sentimen orang Melayu.
Bagaimanapun, katanya apabila kemelut membabitkan institusi Raja berlaku di negeri Adat Perpatih itu, tindakan dan pendirian pemimpin kedua-dua parti itu menjadi perhatian sekali gus menimbulkan persoalan mengenai konsistensi mereka dalam mempertahankan institusi berkenaan.
"Kita tidak boleh bercakap tentang mempertahankan institusi Raja pada satu masa tetapi membiarkan tindakan politik yang menimbulkan pertikaian terhadap kedudukan dan kewibawaan institusi tersebut pada masa yang lain.
"Lebih penting, kemelut ini bukan sekadar pertelingkahan politik biasa. Ia melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan prinsip keluhuran perlembagaan.
"Apabila Menteri Besar (Datuk Ismail Lasim) sendiri menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyerahkan atau membenarkan surat peletakan jawatannya dikemukakan, maka kepimpinan BN perlu memberikan penjelasan yang telus kepada rakyat,’’ katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai polemik politik di Negeri Sembilan yang mencetuskan perdebatan berhubung pendirian parti-parti politik terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Fitri turut mempersoalkan pendirian sebenar kepimpinan Pas berhubung kemelut berkenaan memandangkan parti itu juga merupakan sebahagian daripada gabungan BN-PN di negeri tersebut.
Beliau menegaskan institusi Raja bukanlah alat untuk memenangkan mana-mana parti politik sebaliknya perlu dihormati dan dipelihara tanpa dipengaruhi kepentingan politik mana-mana pihak.
"Jangan sampai rakyat dipermainkan dengan sentimen mempertahankan Raja sedangkan tindakan pemimpin sendiri menimbulkan persoalan terhadap penghormatan kepada institusi Raja.
"Saya berpandangan semua pihak perlu kembali kepada prinsip perlembagaan, menghormati institusi Raja dan mengutamakan kepentingan rakyat.
"Politik boleh berubah, kerajaan boleh bertukar tetapi institusi Raja dan keluhuran perlembagaan mesti kekal dihormati,’’ ujar beliau yang juga Ketua AMK Merbok.
Pada 16 November lalu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar namun Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Sehari kemudian, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Bagaimanapun menerusi perkongsian di Facebook pada 18 November, Ismail dilihat masih menjalankan tugas seperti biasa apabila menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS).
Pada 20 November, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan bahawa Ismail perlu menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja berkata, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa Istana mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan.
Menurutnya, pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan.




Comments