top of page

Hubungan Malaysia-Laos masuk fasa bahariu, dagangan naik 28%

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
35 minutes ago
2 min read
Thongsavan Phomvihane (kanan) bertemu delegasi Malaysia membincangkan hubugan dagang
Thongsavan Phomvihane (kanan) bertemu delegasi Malaysia membincangkan hubugan dagang

Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Thongsavan Phomvihane ke Malaysia membuka peluang memperluas kerjasama strategik kedua-dua negara, khususnya dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi digital dan industri halal, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Laos.


Lawatan selama tiga hari bermula 22 hingga 24 November itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi serta meneroka potensi baharu menerusi penglibatan sektor swasta.


Thongsavan tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.13 malam tadi bersama isterinya, Vadsana Phomvihane dan delegasi Laos. Ketibaan beliau disambut Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Datuk Rozainor Ramli.


Sepanjang lawatan, beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pertemuan dua hala dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Menurut Wisma Putra, pertemuan itu akan menjadi platform untuk kedua-dua negara menilai kemajuan kerjasama sedia ada dan mengenal pasti bidang baharu yang berpotensi diterokai.


Antara bidang yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan serta pengangkutan, industri halal, ekonomi digital dan pembangunan kapasiti, selain perkembangan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.


Dagangan dua hala catat pertumbuhan ketara


Hubungan ekonomi Malaysia-Laos menunjukkan perkembangan positif apabila nilai perdagangan dua hala meningkat sebanyak 157.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, mencecah RM258.4 juta.


Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Laos bernilai RM77.7 juta, manakala import dari negara berkenaan berjumlah RM180.7 juta.


Momentum pertumbuhan turut berterusan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 apabila perdagangan dua hala meningkat 28.7 peratus kepada RM225.3 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Laos dijangka mengetuai delegasi pemimpin perniagaan untuk menyertai Forum Perniagaan Laos-Malaysia, yang bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara sektor swasta kedua-dua negara.


Duta Laos ke Malaysia, Thepthavone Sengmany, sebelum ini menyatakan negaranya berminat meningkatkan penyertaan pelabur Malaysia dalam sektor berpotensi seperti pertanian hijau, pemprosesan makanan, pengeluaran makanan halal, teknologi moden, pelancongan serta perkhidmatan kewangan.


Satu lagi agenda penting lawatan ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama latihan diplomat antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) Malaysia dengan Institut Hal Ehwal Luar Laos.


Kerjasama itu dijangka memperluas perkongsian kepakaran serta pembangunan profesional dalam kalangan pegawai diplomatik kedua-dua negara.


Dari sudut pelaburan, Malaysia turut mempunyai kepentingan dalam sektor tenaga Laos menerusi Projek Hidroelektrik Don Sahong berkapasiti 260 megawatt di wilayah Champasak, yang dikenal pasti sebagai pelaburan tenaga bersih terbesar Malaysia di negara itu.


Malaysia dan Laos menjalin hubungan diplomatik pada 1 Julai 1966. Enam dekad hubungan itu menjadi asas kepada usaha kedua-dua negara memperkukuh persahabatan, kerjasama ekonomi dan hubungan serantau, selaras dengan kepentingan bersama dalam ASEAN.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page