top of page

EWS bukan pengganti SMS, pengguna telefon lama tetap terima amaran bencana

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
27 minutes ago
2 min read
DS Fahmi menghadiri Majlis Penutupan Program MYReaders Lembah Pantai 2026, semalam
DS Fahmi menghadiri Majlis Penutupan Program MYReaders Lembah Pantai 2026, semalam

Pengguna telefon pintar yang tidak memenuhi spesifikasi minimum Sistem Amaran Awal (EWS) negara tetap akan menerima maklumat kecemasan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), sekali gus memastikan tiada golongan tercicir daripada penyampaian amaran bencana.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mekanisme pemakluman sedia ada yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan terus beroperasi seperti biasa, manakala EWS yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berfungsi sebagai saluran tambahan.


Beliau berkata, EWS bukan bertujuan menggantikan sistem sedia ada, sebaliknya memperkukuh penyampaian maklumat kecemasan kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan bencana.


"Jadi, sistem pemakluman menggunakan SMS itu masih ada dan pihak NADMA memang boleh melaksanakan, sekarang pun memang boleh," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutupan Program MYReaders Lembah Pantai 2026, semalam.


Telefon serasi terima amaran secara pop-up


EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan notifikasi kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon pintar yang serasi dalam kawasan geografi yang dikenal pasti.


Berbeza dengan SMS, amaran EWS dipaparkan secara langsung pada skrin telefon dalam bentuk notifikasi pop-up berserta bunyi amaran.


Pengguna juga tidak perlu memuat turun atau memasang aplikasi khusus untuk menerima notifikasi berkenaan kerana sistem itu berkomunikasi terus dengan peranti yang menyokong teknologi tersebut.


MCMC sebelum ini menetapkan spesifikasi minimum bagi menyokong penerimaan amaran EWS, iaitu:


- iPhone: iPhone 11 dan model lebih baharu dengan iOS 27.2 atau terkini.


- Android: Android 12 dan ke atas.


- Huawei: EMUI 16 dan ke atas.


Pengguna disaran mengemas kini sistem operasi telefon masing-masing bagi memastikan peranti bersedia menerima notifikasi EWS.


Dalam perkembangan berkaitan, ujian simulasi EWS dijadualkan berlangsung di kawasan Bangunan Parlimen hari ini, 23 November, kira-kira jam 1.30 tengah hari.


Ujian itu bertujuan memberi peluang kepada Ahli Parlimen melihat sendiri bentuk paparan dan bunyi notifikasi yang akan diterima sebelum mereka menerangkan fungsi sistem berkenaan kepada penduduk di kawasan masing-masing.


Ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara pula dijadualkan pada 29 November ini, dengan masa pelaksanaan akan dimaklumkan kemudian.


MCMC turut merancang mempergiat hebahan kepada orang ramai menerusi televisyen, radio, pawagam dan platform media sosial bagi memastikan masyarakat memahami bentuk notifikasi EWS serta membezakan mesej ujian daripada amaran kecemasan sebenar.


Siren JPS kekal sebagai kesiapsiagaan hadapi bencana


Selain SMS dan EWS, sistem siren yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan berisiko banjir, khususnya sepanjang jajaran sungai, turut menjadi sebahagian daripada mekanisme kesiapsiagaan bencana negara.


Fahmi berkata, EWS juga mempunyai potensi untuk digunakan bagi menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam, termasuk kejadian kehilangan individu atau kanak-kanak.


Sistem berasaskan lokasi geografi itu membolehkan maklumat disampaikan kepada pengguna telefon dalam kawasan yang ditetapkan, walaupun terdapat kemungkinan telefon di kawasan berhampiran yang tidak terjejas turut menerima notifikasi.


Gabungan EWS, SMS dan siren diharap dapat memperkukuh sistem penyampaian amaran negara serta meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page