top of page

Ulama India rakam penghargaan kepada PM Anwar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Syeikh Dr Muhammad Abd Hakim Al Azhari
Syeikh Dr Muhammad Abd Hakim Al Azhari

Ulama India, Syeikh Dr Muhammad Abd Hakim Al Azhari merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ia berhubung usaha Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membawa pengajian hadis ke peringkat antarabangsa menerusi program Sama’ Hadis Jami’ At-Tirmidhi dan Al-Syamail Al-Muhammadiyyah 2026.


Syeikh Dr Muhammad Abd Hakim dipetik Berita RTM menyifatkan penganjuran program di Masjid Putra, Putrajaya itu sebagai usaha bermakna yang membuka ruang kerjasama antara Malaysia dengan India dalam memperluas pengajian hadis.


"Program ini merupakan satu inisiatif yang sangat hebat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya amat menghargainya.


"Kami berminat untuk bekerjasama dalam pertukaran ilmu, berkongsi tenaga pengajar, penceramah dan profesor, khususnya dalam bidang ilmu hadis yang diajarkan oleh ulama besar secara dirayah.


"Ilmu hadis itu merangkumi pengajian Sihahus Sittah, Muwatta dan Mishkatul Masabih serta kitab-kitab lain yang dipelajari selama bertahun-tahun," katanya dipetik laporan media.


Program selama 11 hari dan bakal berakhir hari ini menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei, China, Jepun, India, Bangladesh dan Oman.


Pengajian memberi tumpuan kepada kitab Jami’ al-Tirmizi dan Al-Syamail al-Muhammadiyyah menerusi pembacaan hadis, pengajian riwayah dan dirayah serta sesi syarahan dan kupasan oleh 10 tokoh ulama antarabangsa dan tempatan.


Selain memperkukuh kefahaman terhadap ilmu hadis, pengajian Al-Syamail turut memberi ruang kepada peserta mendalami sifat, akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian.


Sementara itu, Penasihat Persatuan Pondok-Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al Makki menyeru kerajaan agar meneruskan majlis ilmu seumpama itu bagi memperkukuh penguasaan masyarakat terhadap ilmu hadis.


Di Malaysia jelasnya pengetahuan berkaitan hadis masih lagi lemah berbanding di rantau Arab dan India.


"Majlis seperti ini perlu diteruskan sebab kita nak belajar dan mahu sebarkan hadis Nabi Muhammad SAW," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page