Monsun: Pemantauan bekalan, harga barangan asas diperkukuh - KPDN


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh pemantauan bekalan serta harga barangan keperluan sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata, langkah kesiapsiagaan itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan bekalan mencukupi dan kepentingan pengguna terus terpelihara, khususnya di kawasan berisiko banjir.
"Antara langkah awal yang diambil ialah mengenal pasti peruncit dan pemborong di kawasan berisiko bagi membolehkan mereka menyimpan stok tambahan barangan kawalan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata jawatankuasa penstabilan atau pemantauan bekalan akan sentiasa memantau situasi bagi memastikan bekalan kekal stabil sekiranya berlaku gangguan akibat bencana.
Selain itu kerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut diperkukuh bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.
Mengulas kemungkinan kerajaan akan melaksana skim kawalan harga barangan keperluan sepanjang musim monsun seperti yang dilaksanakan ketika musim perayaan, Armizan berkata, perkara itu bergantung pada keadaan semasa dan keperluan di kawasan terjejas.




Comments