top of page

Pemuda AMANAH mahu berdemo bersama Sekretariat Rakyat Benci Rasuah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 minutes ago
2 min read

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran demonstrasi menentang rasuah oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah dan bersedia menggembleng tenaga bersama gerakan berkenaan.


Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, Ahmad Shahir Md Shah berkata, pendirian itu mencerminkan komitmen tegas pihaknya bahawa rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan terhadap amanah rakyat tidak boleh diberikan sebarang ruang dalam negara ini.


Menurutnya, perjuangan membanteras rasuah bukan hak milik mana-mana parti politik, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia untuk membina negara yang bersih, adil dan berintegriti.


"Tiada individu yang terlalu besar untuk disiasat, tiada pemimpin yang terlalu berkuasa untuk diadili dan tiada pesalah rasuah yang wajar diberikan keistimewaan atas kedudukan politik mereka.


"Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan tanpa memilih bulu, tanpa campur tangan politik dan tanpa layanan istimewa," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, Pemuda AMANAH turut memandang serius kecenderungan menormalisasikan rasuah sehingga kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berisiko dianggap perkara biasa oleh generasi muda Gen Z.


Katanya, kesalahan rasuah tidak boleh diputihkan hanya kerana seseorang mempunyai pengaruh, kedudukan atau jasa politik.


"Jika generasi muda tidak lagi memandang rasuah sebagai perbuatan yang jijik dan mengkhianati amanah rakyat, negara sedang membiarkan benih kerosakan membesar menjadi barah yang akan menghancurkan masa depan bangsa.


"Kita tidak boleh mewariskan kepada anak muda suatu pemikiran bahawa rasuah boleh dimaafkan atas nama kesetiaan politik, simpati atau kepentingan tertentu. Rasuah mesti kekal dilihat sebagai jenayah yang merosakkan negara, bukan kesalahan yang boleh dinormalisasikan," katanya.


Dalam pada itu, Ahmad Shahir menegaskan kesetiaan kepada kerajaan tidak bermakna Pemuda AMANAH perlu berdiam diri apabila prinsip reformasi, integriti dan keadilan dipersoalkan.


Menurutnya, reformasi bukan sekadar slogan ketika berada di luar kerajaan, sebaliknya amanah yang perlu dipertahankan dengan keberanian dan kejujuran apabila diberikan kuasa.


Beliau turut mempertahankan hak mahasiswa, anak muda dan masyarakat sivil untuk berhimpun secara aman sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.


Katanya, suara rakyat yang menuntut negara bebas rasuah perlu dihormati dan bukannya dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan.


Sehubungan itu, Pemuda AMANAH bersedia bersama Sekretariat Rakyat Benci Rasuah menggembleng kekuatan anak muda bagi menyatakan pendirian menerusi demonstrasi secara aman, berdisiplin dan bertanggungjawab.


"Perjuangan menentang rasuah mesti dilaksanakan tanpa memilih kawan atau lawan. Inilah tanggungjawab generasi muda untuk memastikan reformasi terus dipertahankan, keadilan ditegakkan dan negara tidak sekali-kali kembali kepada budaya yang merosakkan amanah rakyat.


"Rasuah tetap rasuah. Salah tetap salah. Jangan wariskan budaya rasuah kepada generasi muda," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page