top of page

AMANAH lulus usul desak Akta Pariti Gender, minimum 30 peratus calon wanita

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 minutes ago
2 min read
Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Al Jundi
Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Al Jundi

Parti Amanah Negara (AMANAH) meluluskan usul mendesak Kerajaan MADANI mempercepat penggubalan Akta Pariti Gender dalam Perwakilan Politik bagi menjamin minimum 30 peratus pencalonan wanita dalam pilihanraya.


Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Al Jundi berkata, kelulusan usul yang dibawa Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional itu menerusi undian pada Konvensyen Nasional AMANAH membawa kemajuan penting dalam usaha memperkukuh keterwakilan wanita dalam demokrasi negara.


Menurutnya, penyertaan wanita dalam politik tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada budi bicara, peluang terhad atau komitmen sukarela parti politik.


"Usul ini menegaskan bahawa penyertaan wanita dalam politik tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada budi bicara, peluang yang terbatas atau komitmen sukarela.


"Ia perlu diperkukuh melalui kerangka perundangan yang jelas, berkesan dan mempunyai mekanisme pelaksanaan yang teratur," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, sasaran minimum 30 peratus pencalonan wanita bukan satu bentuk keistimewaan, sebaliknya langkah afirmatif bagi memastikan golongan itu mendapat ruang yang adil untuk menyumbang dan memimpin negara.


"Minimum 30 peratus pencalonan wanita bukanlah satu keistimewaan, tetapi langkah afirmatif bagi memastikan wanita mempunyai ruang yang adil untuk menyumbang, memimpin dan menentukan masa depan negara," katanya.


Aiman Athirah turut merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan Konvensyen Nasional AMANAH yang menyokong dan meluluskan usul berkenaan.


Katanya, kelulusan itu perlu menjadi titik permulaan kepada tindakan lebih konkrit dan bukannya sekadar resolusi di atas kertas.


Beliau menegaskan demokrasi negara tidak akan benar-benar lengkap selagi potensi kepimpinan wanita tidak diberikan ruang sewajarnya.


"AMANAH percaya, demokrasi tidak akan benar-benar lengkap selagi separuh daripada potensi kepimpinan negara tidak diberikan ruang yang sewajarnya," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyifatkan kelulusan usul berkenaan sebagai mandat politik daripada AMANAH kepada Kerajaan MADANI supaya komitmen meningkatkan penyertaan wanita diterjemahkan kepada tindakan melalui penggubalan undang-undang.


"Kelulusan usul ini merupakan mandat politik daripada AMANAH agar Kerajaan MADANI bergerak daripada komitmen kepada tindakan, daripada aspirasi kepada perundangan, dan daripada penyertaan kepada perwakilan yang bermakna," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page