Prof Dr Razali Nawawi: Kesetiaan Sampai ke Akhir Hayat


Oleh: Zunar
Diari Reformasi: Prof. Dr Razali Nawawi bukanlah teman rapat saya, tetapi beliau adalah salah seorang tokoh yang amat saya hormati.
Beliau merupakan pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama. Kali pertama saya bertemu dengan beliau adalah pada tahun 1998 di Sungai Ramal Dalam (Surada), Bangi - yang merupakan ibu pejabat ABIM ketika itu.
Ketika itu, Anwar Ibrahim baru saja ditangkap. Waktu itu, saya baru sahaja menceburkan diri dalam dunia kartun politik dan sudah menjadi kebiasaan untuk saya melelong lukisan yang dihasilkan secara langsung (live).
Dalam acara petang tersebut, lukisan saya telah dilelong dan Prof. Razali menjadi pembida terakhir dengan harga RM300. Disebabkan hal itu, saya telah dijemput ke rumah beliau untuk berbual-bual sambil makan bersama.
Propaganda buruk atas Anwar
Ketika awal-awal reformasi, semua media cetak dan elektronik yang dikawal kerajaan Mahathir setiap hari membuat propaganda buruk mengenai Anwar Ibrahim. Ketika itu internet belum berkembang dan media sosial belum ada.
Media seperti Utusan, Berita Harian, NST, TV3 dan lain-lain sajalah sumber maklumat. Mahathir menggunakan modus operandi yang dipraktikkan oleh orang kepercayaan Hitler, iaitu Paul Joseph Goebbels.
Kata Goebbels, "Pembohongan, jika diulang-ulang akan dipercayai orang." Kerana itu, propaganda seperti ini sedikit sebanyak mengganggu fikiran saya. Namun, apabila saya bertemu Prof. Dr Razali, segala sisa keraguan lenyap dan semua propaganda itu berjaya ditepis.
Walaupun pertemuan itu singkat, saya mendapati sosok Prof. Razali ini mempunyai keyakinan yang tidak berbelah bahagi bahawa Anwar adalah mangsa konspirasi.
Ini kerana beliau adalah orang yang sangat rapat dengan Anwar dan mengenali benar peribadi mantan Timbalan Perdana Menteri itu. Dia juga punya keyakinan bahawa suatu hari nanti, Anwar akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tiada siapa dapat menghalang kuasa Allah, kata beliau.
Anwar didoa jadi pemimpin negara
Sepanjang berbual, tidak lekang daripada mulutnya doa agar Anwar dibebaskan dari penjara dan menjadi pemimpin negara.
Selepas pertemuan itu, saya juga sering nampak Prof. Razali dalam majlis solat hajat di rumah Anwar di Segambut. Doa yang sama seperti tadi jugalah yang sering dilafazkan, malah kadangkala disulami dengan huraian serta cucuran air mata ikhlas yang bersungguh-sungguh.
Saya sangat terinspirasi dengan beliau - seorang yang alim, berilmu, berakhlak dan keyakinannya tidak goyah.
Masa berlalu. Pada Hari Raya tahun 2022 (bulan April), seperti biasa pada hari pertama, saya beraya di rumah mertua di Bangi. Saya telah didatangi oleh beberapa orang lama daripada ABIM. Salah seorang daripada mereka ialah Hj. Abd. Rahman Yasin.
Mereka memberitahu bahawa mereka baru sahaja menziarahi Prof. Razali yang ketika itu sedang sakit berat. Apabila saya bertanyakan keadaan Prof. Razali, Haji Rahman berkata beliau memang sedang sakit, namun semangatnya tetap kuat. Haji Rahman menambah, Prof. Razali ada meluahkan kata-kata yang luar biasa kepada beliau, iaitu: Saya harap akan meninggal dunia selepas melihat Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Doa saksikan Anwar jadi PM
Saya percaya kata-kata beliau itu bukan lahir daripada kesombongan, melainkan sebuah ucapan yang tulus ikhlas, dan sebagai motivasi untuk diri sendiri.
Lapan bulan selepas itu, tepatnya pada 24 November 2022, Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Tujuh bulan selepas itu, iaitu pada 18 Mei 2023, Prof. Razali meninggal dunia.
Anwar sempat menziarahi beliau sebelum pemergiannya itu. Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh-Nya. (Nota: Saya telah mendapat kebenaran dan pengesahan daripada Haji Rahman sebelum artikel ini ditulis).




Comments