MB letak jawatan: Hadiah 100 hari Kerajaan BN-PN Negeri Sembilan?


Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) gagal menunjukkan sebarang perubahan bermakna kepada rakyat selepas lebih 100 hari mengambil alih pentadbiran.
Jika di negeri lain tempoh 100 hari adalah detik untuk rakyat merayakan perubahan yang dibawa berupa dasar lebih baik, bantuan kebajikan lebih bermakna atau penambahan peluang pekerjaan.
Sebaliknya, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Edy Nor Reduan, tempoh 100 Kerajaan BN-BN ini, rakyat tidak menikmati apa apa perubahan malah lebih buruk kerana negeri itu tiada Exco dan Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim terlibat dalam kontroversi meletak jawatan 'tanpa kerelaan'.
"Sepatutnya apabila sebuah kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran, dalam tempoh 100 hari sudah ada sesuatu yang boleh ditawarkan dan dinilai oleh rakyat.

"Malangnya, selepas lebih 100 hari, tidak ada apa-apa. Sebaliknya, kerajaan dilihat tempang dan tidak mempunyai kestabilan," katanya Edy kepada Suara Keadilan.
Edy berkata, rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada kemelut politik serta perebutan kuasa dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Negeri.
Tambahnya, usaha mendapatkan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi urusan pembentangan belanjawan turut gagal apabila Menteri Besar seolah-olah dihalang kepimpinan BN Pusat.
Hal yang terbukti, kata beliau, ialah BN tidak mampu membawa kestabilan politik apabila bersama PN memerintah negeri.
"MB Ismail Lasim ada peluang dan berusaha untuk mendapatkan tarikh persidangan berkenaan sebelum ini. Dia berjaya memperoleh ruang untuk mengadap DYMM Tuanku Yamtuan Besar untuk membawa perkara itu ke peringkat seterusnya.
"Tapi perkembangan terbaru menunjukkan usaha tersebut tidak mendapat persetujuan daripada kepimpinan parti BN di peringkat pusat.
"Ini ironi apabila kerajaan yang sepatutnya memberi tumpuan kepada kestabilan pentadbiran sebaliknya berdepan tindakan yang boleh menggugat kerajaan sendiri.
"Sehingga kini rakyat masih belum melihat hasil yang boleh dibanggakan daripada pentadbiran baru BN-PN.
"Inilah hadiah 100 hari pentadbiran BN-PN Negeri Sembilan kepada rakyat," katanya lagi.




Comments