Lulus RM280,000 bina gelanggang berbumbung SK Bandar Tun Razak 2


Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengumumkan kelulusan peruntukan RM280,000 bagi pembinaan gelanggang berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Razak 2.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peruntukan diluluskan menerusi Projek Kerajaan MADANI itu bagi memenuhi permohonan pihak sekolah untuk menyediakan kemudahan sukan dan aktiviti kokurikulum yang lebih selesa kepada warga sekolah.
"Peruntukan sebanyak RM280,000 diluluskan bagi memenuhi permohonan pihak sekolah untuk melaksanakan projek berkenaan selepas peruntukan awal sebanyak RM200,000 didapati tidak mencukupi dan tambahan RM80,000 diperlukan," katanya dipetik.
Beliau yang juga isteri Perdana Menteri sebelumnya hadir merasmikan Karnival Bakat Murid SK Bandar Tun Razak 2 pada Ahad.
Karnival bertemakan ‘Cergas, Berbakat, Berpotensi’ itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan murid, selain menggilap bakat dan mengembangkan potensi diri.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Wan Azizah menyeru masyarakat khususnya di Bandar Tun Razak supaya terus memperkukuh hubungan kejiranan, semangat perpaduan dan sikap saling menghormati bagi mengekalkan keharmonian komuniti.
Ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 bagi kawasan Parlimen tersebut beliau turut menyeru pengguna media sosial menjaga adab dan tatasusila serta mengamalkan empati ketika berkomunikasi di ruang siber.




Comments