top of page

Hutang negara bukan bermula kosong setiap kali PM bertukar - Eddiarman

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read

Perbandingan hutang langsung Kerajaan Persekutuan antara akhir 2017 dengan Jun 2026 yang meletakkan keseluruhan kenaikannya di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak berasas.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, perbandingan sedemikian gagal mengambil kira beberapa pentadbiran Perdana Menteri yang memerintah negara sepanjang tempoh berkenaan.


Beliau berkata, hutang langsung Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion pada akhir 2017 sebelum meningkat kepada RM793 bilion pada akhir 2019, RM879.6 bilion pada 2020, RM979.8 bilion pada 2021 dan RM1,079.6 bilion pada akhir 2022.


Menurutnya, pertambahan hutang dari akhir 2019 hingga akhir 2022 sahaja mencecah kira-kira RM286.6 bilion dan tempoh itu tidak sepatutnya diketepikan dalam sebarang perbandingan.


"Tempoh sejak 2017 hingga 2026 itu sebenarnya merangkumi beberapa pentadbiran PM yang lain juga.


"Oleh itu, tempoh tersebut sepatutnya mesti dimasukkan dalam penjelasan, bukan dihilangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Eddiarman berkata, baki hutang pada akhir 2022 menjadi asas permulaan bagi tahun 2023 sebelum meningkat kepada RM1,172.5 bilion pada 2023, RM1,247.6 bilion pada 2024, RM1,320.8 bilion pada 2025 dan RM1,378.9 bilion setakat Jun 2026.


Eddiarman Mohd Yunos
Eddiarman Mohd Yunos

Katanya, peningkatan hutang langsung dari akhir 2022 hingga Jun 2026 berjumlah kira-kira RM299.3 bilion, dengan angka bagi 2026 hanya meliputi tempoh enam bulan.


Beliau turut menjelaskan bahawa konsep hutang 'dibawa ke hadapan' merujuk kepada baki hutang terkumpul yang menjadi titik permulaan bagi tempoh pentadbiran berikutnya.


"'Dibawa ke hadapan' bermaksud baki hutang terkumpul menjadi titik permulaan tempoh berikutnya. Ia tidak bermaksud setiap pinjaman asal masih kekal kerana sebahagiannya mungkin telah dibayar atau dibiayai semula.


"Kerajaan semasa mewarisi obligasi lama, sambil bertanggungjawab terhadap keputusan belanjawan dan pertambahan hutang dalam tempohnya sendiri," ujarnya.


Belanjawan defisit terus menerus


Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa belanjawan Malaysia secara umumnya mencatatkan defisit sejak sekian lama, kecuali pada 1997 apabila negara menggunakan belanjawan lebihan ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.


Eddiarman turut membangkitkan perbezaan antara hutang langsung kerajaan dengan jumlah hutang dan liabiliti yang lebih luas.


Katanya, angka RM686.8 bilion pada akhir 2017 hanya merujuk kepada hutang langsung kerajaan, manakala jumlah hutang dan liabiliti termasuk jaminan pinjaman kerajaan serta hutang bersih 1MDB dan liabiliti lain dilaporkan berjumlah RM1,087.3 bilion oleh jawatankuasa Parlimen.


"Oleh yang demikian, angka lebih luas itu tidak boleh dibandingkan terus dengan hutang langsung sahaja," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang membangkitkan isu hutang negara supaya memberikan gambaran menyeluruh dan tidak memilih angka tertentu bagi menyokong naratif politik masing-masing.


"Kalau nak cerita jangan ambil sekerat. Rakyat berhak melihat keseluruhan perjalanan hutang, termasuk baki yang diwarisi dan pertambahan setiap tempoh pentadbiran PM yang ada.


"Jangan pesongkan fakta sebagaimana yang korang sedang buat sekarang," katanya.


Semalam, heboh di media sosial kononny hutang negara palung tinggi pada era pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Sedangkan hutang tersebut meningkat sedikit demi sedikit dari pentadbiran yang lalu. Malah pada era Anwar defisit dikurangkan secara drastik yang memungkinkan belanjawan mencacat surplus pada tahun tahun mendatang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page