Kerajaan tampung RM250 juta, kurangkan kos hantar barang ke pedalaman


Kerajaan memperuntukkan RM250 juta bagi program pengedaran barang perlu pada tahun depan melibatkan 828 kawasan pengedaran terutamanya di Sabah dan Sarawak sebagai usaha mengurangkan kos logistik penghantaran barangan ke kawasan pedalaman.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Senator Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata program itu turut membantu peniaga kecil yang berdepan kos operasi dan pengangkutan lebih tinggi berbanding rangkaian pasar raya besar.
“Pasar raya besar mempunyai kelebihan bagi menikmati skala ekonomi memandangkan mereka boleh membeli secara pukal.
“Kalau kita tengok peruncit kecil terutamanya di kawasan pedalaman, mereka terpaksa menanggung kos logistik untuk membawa barang-barang,’’ katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai perbezaan struktur kos antara peniaga kecil di kawasan pedalaman dan rangkaian pasar raya besar dalam perumusan dasar harga serta subsidi bagi memastikan dasar nasional tidak memihak kepada perniagaan berskala besar.
Fuziah menjelaskan kerajaan turut menyediakan peruntukan RM67 juta menerusi program penyeragaman harga bagi menampung kos penghantaran barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak menggunakan mekanisme Port-to-Port.
Selain itu, katanya sejumlah RM3.5 billion diperuntukkan pada 2025 bagi pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang membabitkan kira-kira 30,000 kenderaan pengangkut barangan keperluan.
Kepada soalan tambahan Doris, Fuziah berkata pihaknya mengambil kira kos bahan mentah, operasi dan pengangkutan dalam menentukan harga sesuatu barangan demi memastikan tiada unsur pencatutan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
Jelas beliau pemantauan harga dilakukan setiap hari oleh 850 pegawai pemantau harga yang memeriksa 2,170 premis melibatkan 316 jenis barangan bagi mendapatkan maklumat berkaitan harga serta kos di sepanjang rantaian bekalan.
"Perbezaan kos penghantaran antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak ditangani menerusi mekanisme Port-to-Port manakala kos pengedaran ke kawasan pedalaman ditampung melalui Program Pengedaran Barang Perlu dan SKDS.
"KPDN juga akan mengambil tindakan sekiranya mengesan kenaikan harga tidak wajar atau wujud unsur pencatutan,'' ujar beliau.




Comments