top of page

KPDN komited kukuh budaya pematuhan kendiri dalam kalangan peniaga

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Oct 20
1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memperkukuh budaya pematuhan kendiri dalam kalangan peniaga.


Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, pihaknya bercadang memperluas pelaksanaan program PATUH (Pematuhan Undang-undang dan Advokasi Pengguna) ke 16 medan selera tahun depan bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, khususnya di lokasi tumpuan orang ramai.

"Pemilihan zon untuk kita melaksanakan program pemantauan ini berdasarkan kawasan tumpuan atau tempat orang ramai berkumpul..


"Program PATUH ketika ini bukan sahaja tertumpu di kawasan pelancongan, malah turut melibatkan pasar dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R)," katanya dipetik di Dewan Rakyat semalam.


PATUH merangkumi lima elemen utama, iaitu penandaan harga barangan, penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan, transaksi jualan yang jelas dan telus, urus niaga yang adil serta berintegriti, dan penetapan harga tanpa unsur pencatutan.


Inisiatif strategik oleh KPDN itu bertujuan mewujudkan ekosistem perdagangan domestik yang beretika, adil, telus, dan berintegriti, sekaligus memberikan perlindungan optimum kepada hak pengguna.


Sementara itu Dr Fuziah turut memaklumkan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kawasan tumpuan pelancongan menawarkan urus niaga yang telus, pemaparan harga yang jelas serta perlindungan hak pengguna dan pelancong.


Justeru, beliau turut menggalakkan wakil rakyat mengemukakan cadangan lokasi bersesuaian, termasuk medan selera, pasar, kawasan R&R dan tempat pelancongan, untuk dipertimbangkan kementerian.


"Bagi menilai keberkesanan program itu, KPDN menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang merangkumi pematuhan peniaga, kebersihan dan keceriaan premis serta penglibatan peniaga dalam promosi program," katanya sebagai menjawab soalan tambahan mengenai inisiatif tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page