Sekolah Sukan Perlis beroperasi 2027, Kerajaan MADANI pulih projek sakit - Dr Taufiq


Penantian selama 12 tahun untuk melihat Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar beroperasi bakal berakhir apabila projek berkenaan dijangka siap tahun ini sebelum menerima kumpulan pertama pelajar pada 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penyelesaian projek yang terbengkalai sejak 2013 itu membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI menangani projek sakit yang sekian lama tertangguh.
Beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkembangan projek berkenaan yang berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dua tahun.
"Paling penting, SSM Perlis akan menjadi pusat kecemerlangan sukan bagi zon utara, membuka peluang kepada lebih ramai anak muda dari Perlis dan negeri-negeri sekitarnya untuk menggilap bakat dalam persekitaran pendidikan dan latihan yang lebih sistematik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kumpulan pertama membabitkan 75 murid Tingkatan Satu, terdiri daripada 52 lelaki dan 23 perempuan, dijangka memulakan persekolahan pada Jun 2027.
Enam sukan akan menjadi tumpuan awal sekolah itu, iaitu badminton, bola jaring, bola sepak, memanah, olahraga dan sepak takraw.
Katanya, pelaksanaan Fasa Dua dengan peruntukan RM104 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pula akan memperluas kapasiti sekolah serta menambah cabang sukan yang ditawarkan.
Taufiq berkata, Kementerian Pendidikan turut membuat persiapan pengoperasian secara berfasa, bermula dengan penempatan pentadbir dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pada Januari 2027.
Penempatan guru dan jurulatih pula dijadualkan pada Mac tahun sama, diikuti sesi pengenalpastian bakat atau Talent Identification (TID) pada April 2027.
"Seramai 15 guru, 15 jurulatih dan 11 AKP akan ditempatkan bagi memastikan keseimbangan antara pencapaian akademik, kecemerlangan sukan, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan murid," ujarnya.
Beliau berkata, pencapaian Perlis meraih 17 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuktikan negeri itu mempunyai potensi besar dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi.
Justeru, katanya, Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan serta persatuan sukan bagi memperkukuh laluan pembangunan atlet murid dari peringkat sekolah hingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Taufiq berkata, Anwar menunjukkan ketegasan apabila mengarahkan projek berkenaan diambil alih oleh syarikat milik kerajaan yang berkeupayaan pada April tahun lalu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan atas usaha memastikan sekolah sukan itu akhirnya dapat direalisasikan.
"Penantian 12 tahun kini berakhir, dan masanya telah tiba untuk anak muda di utara tanah air bangkit mengharumkan nama Perlis dan Malaysia," katanya.




Comments