Manfaatkan CSA, kestabilan Kerajaan Perpaduan tunai reformasi – Dr Mujahid


Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan mengabaikan agenda reformasi, sebaliknya kestabilan politik yang diwujudkan perlu dimanfaatkan bagi melaksanakan perubahan yang dijanjikan.
Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, CSA ialah mekanisme yang sah dalam sistem demokrasi berparlimen, namun ia tidak seharusnya menjadi 'cek kosong' kepada kerajaan.
Beliau menggariskan tiga prinsip utama yang perlu diberi perhatian, termasuk memastikan peruntukan pembangunan kawasan diagihkan secara sama rata, telus dan boleh diaudit.
"Peruntukan pembangunan kawasan ialah hak rakyat, bukannya hadiah peribadi kepada Ahli Parlimen. Pemberian secara sama rata, telus dan boleh diaudit tidak boleh disamakan dengan membeli sokongan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid berkata, Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani CSA juga perlu terus memainkan peranan semak dan imbang serta tidak berdiam diri terhadap kelemahan kerajaan.
Menurutnya, komitmen terhadap reformasi mesti menjadi sebahagian daripada ikatan perjanjian, bukannya sekadar janji tanpa pelaksanaan.
Antara reformasi yang perlu diberi perhatian, kata beliau, termasuk pelaksanaan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
"Had dua penggal Perdana Menteri serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya mesti disertai garis masa pelaksanaan yang jelas," katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan menerbitkan teks penuh CSA kepada umum dan membentangkan laporan kemajuan pelaksanaan reformasi kepada Parlimen.
Mengulas dakwaan bahawa CSA merupakan usaha membeli sokongan politik, Mujahid berkata, tuduhan itu hanya berasas sekiranya wujud pemberian habuan peribadi, jawatan, kontrak atau kekebalan undang-undang.
Sebaliknya, katanya, peruntukan yang disalurkan secara telus demi kepentingan rakyat tidak boleh dianggap sebagai rasuah politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa Pakatan Harapan (PH) pernah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dwipartisan dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 September 2021.
Justeru, katanya, semua pihak perlu konsisten menilai sesuatu perjanjian berdasarkan aspek ketelusan, komitmen reformasi dan manfaatnya kepada rakyat.
"Stabiliti bukan penghujungnya. Stabiliti ialah ruang untuk reformasi diberi peluang," katanya.




Comments