Kabinet setuju pinda AUKU sebelum pemansuhan sepenuhnya


Jemaah Menteri hari ini telah meluluskan cadangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksana dua perkara iaitu meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) khususnya peruntukan seksyen-seksyen yang dilihat sebagai mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara atau berpersatuan.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata, perkara kedua yang diluluskan ialah untuk membangunkan satu akta yang baharu bagi menggantikan sepenuhnya AUKU dalam tempoh yang munasabah.
"Sehubungan itu Jemaah Menteri bersetuju supaya Menteri Pendidikan Tinggi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan AUKU untuk dibawa ke Parlimen pada Disember ini.
"Itu untuk meminda AUKU khususnya peruntukan bagi seksyen yang mengekang kebebasan mahasiswa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Tujuan pindaan berkenaan adalah untuk memberikan kelegaan sementara kepada mahasiswa daripada peruntukan AUKU yang mengekang kebebasan mahasiswa sejak 1970an.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited untuk memansuhkan AUKU dengan RUU baharu yang menggantikannya dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
Anwar berkata, perkara itu telah disuarakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi membolehkan peruntukan berkaitan tatacara pengurusan universiti dan kawalan terhadap mahasiswa diteliti semula secara menyeluruh.




Comments