top of page

Gaji minimum RM2,000 langkah tingkatkan keadilan sosial – Hassan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
55 minutes ago
2 min read

Usaha kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai 1 Jun 2027 disifatkan sebagai langkah positif ke arah merapatkan jurang kekayaan dan memastikan pekerja menerima ganjaran setimpal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan negara.


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kekayaan negara tidak seharusnya hanya dinikmati pemilik modal dan korporat, sebaliknya perlu diagihkan secara lebih adil kepada golongan pekerja yang menjadi penggerak ekonomi.


Beliau berkata, berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bahagian pampasan yang diterima pekerja ketika ini hanya 33.9 peratus, manakala selebihnya dinikmati pihak majikan.


"Hal ini adalah tidak adil. Keadilan sosial tidak wujud dalam sebuah masyarakat apabila segelintir kecil pihak menguasai kekayaan negara manakala berjuta-juta kaum pekerja menerima gaji yang tidak wajar untuk satu kehidupan yang bermaruah," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, sasaran kerajaan meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2030 merupakan langkah praktikal dan positif.

Hassan Karim
Hassan Karim

Hassan berkata, kenaikan gaji minimum secara berperingkat menunjukkan usaha berterusan kerajaan meningkatkan pendapatan pekerja, bermula RM1,200 pada Februari 2020, RM1,500 pada Mei 2022 dan RM1,700 pada Februari 2025.


Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 untuk menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 merupakan perkembangan yang wajar disokong.


"Mana-mana kerajaan, baik siapapun yang telah berusaha menaikkan gaji minimum pekerja adalah sebuah kerajaan yang baik dan amat berjasa kepada kehidupan rakyatnya," katanya.


Beliau berkata, kenaikan gaji minimum mungkin pada awalnya mendapat tentangan majikan, syarikat dan korporat, namun golongan itu perlu menyesuaikan operasi perniagaan dengan meningkatkan produktiviti.


Sehubungan itu, katanya, majikan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu melabur dalam peningkatan kemahiran, latihan pekerja, automasi serta penggunaan teknologi tinggi.


Langkah itu, katanya, bukan sahaja meningkatkan produktiviti industri, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tidak mahir.


Hassan berkata, peningkatan gaji pekerja juga akan memperkukuh kuasa beli rakyat, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup masyarakat.


Beliau turut berpandangan cadangan menaikkan gaji minimum golongan separuh mahir dan graduan universiti kepada RM2,500 sebulan mampu menjadi dorongan kepada golongan muda untuk melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan menaikkan gaji minimum pekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.


Katanya, langkah itu boleh menjadi contoh kepada sektor swasta untuk menawarkan ganjaran lebih baik, selain membantu mengelakkan penghijrahan tenaga kerja berkemahiran tinggi ke luar negara atau fenomena brain drain.


"Kenaikan gaji minimum jika dibuat secara berstruktur pada akhirnya kaum pekerja akan menerima gaji yang bertaraf gaji hidup yang bermaruah.


"Jika taraf itu tercapai maka keadilan sosial bukan sekadar mimpi sahaja," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page