Kenyataan Zahid semakin tidak sejalan dengan Kerajaan Madani - Aktivis politik


Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan penggunaan nama Kerajaan MADANI menimbulkan tanda tanya apabila perkara itu sebelum ini telah dipersetujui dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sejak 2023.
Aktivis politik, Fairul al Qasas menzahirkan kehairanan terhadap tindakan Ahmad Zahid itu sedangkan beliau sendiri merupakan sebahagian daripada kepimpinan utama kerajaan.
"Dalam satu perhimpunan Umno, Ahmad Zahid berkata, 'jangan ada perjanjian ditandatangani, dalam masa sama ia dimungkiri. Kerajaan Perpaduan yang disepakati itu ada dalam perjanjian, entah bagaimana Kerajaan Perpaduan Nasional ditukar menjadi Kerajaan Madani'.
"Sedangkan menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, penggunaan nama Kerajaan MADANI telah dipersetujui dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sejak 2023 lagi.
"Fahmi juga merupakan Jurucakap Kerajaan. Maka, kenyataan beliau merupakan penjelasan rasmi kerajaan berhubung perkara tersebut," katanya dalam hantaran di media sosial.
Selain itu, Fairul mendakwa dalam perhimpunan Umno juga, Ahmad Zahid secara terbuka mengkritik dasar Kerajaan MADANI berkaitan BUDI MADANI yang didakwanya sebagai dasar 'flip-flop'.
Sedangkan katanya, berdasarkan kronologi yang diketahui umum, pengurangan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter dibuat susulan perkembangan perang di Timur Tengah.
"Kuota itu kemudiannya dinaikkan semula kepada 300 liter selepas Kerajaan Madani berjaya memperoleh jaminan bekalan minyak dari Rusia, bukannya kerana pilihan raya negeri di Negeri Sembilan.
"Tindakan Ahmad Zahid ini bukan sahaja merupakan serangan terbuka terhadap kerajaan yang dibinanya bersama, malah menimbulkan persoalan tentang kefahaman beliau terhadap dasar kerajaan sendiri.
"Jika benar beliau tidak memahami rasional di sebalik perubahan dasar tersebut, hal ini memperlihatkan kelemahan beliau sebagai seorang pemimpin nasional yang sepatutnya mampu menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat, bukannya sekadar mengkritiknya demi kepentingan politik," ujarnya lagi.
Dalam kenyataan sama, Fairul berkata, Ahmad Zahid secara terbuka di Parlimen turut mendakwa terdapat pihak tertentu yang mengarahkan agar projek-projek luar bandar dibatalkan.
Justeru katanya, timbul persoalan mengenai tujuan Ahmad Zahid membangkitkan isu berkenaan dengan mengaitkannya secara langsung dengan Sabah dan Sarawak tanpa menjelaskan keseluruhan latar belakang serta punca sebenar tindakan tersebut.
Ujarnya, pendekatan sedemikian berisiko membentuk persepsi bahawa Kerajaan MADANI sengaja mengabaikan pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.
"Ini langkah politik Ahmad Zahid untuk merenggangkan hubungan baik Madani dan Sabah Sarawak.
"Sekarang, mari kita lihat pula fakta berkaitan peruntukan kepada KKDW. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberikan amanah kepada Ahmad Zahid mengetuai KKDW.
"Ini merupakan peluang besar untuk Umno membuktikan bahawa parti itu masih mampu memperjuangkan nasib orang Melayu, khususnya masyarakat luar bandar yang sebahagiannya telah beralih sokongan kepada Pas.
"Atas dasar itu, pelbagai projek pembangunan luar bandar telah diluluskan oleh Kerajaan Madani dengan peruntukan yang besar.
"Persoalannya, jika kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar, mengapa pula timbul masalah komitmen perbelanjaan berlebihan sehingga bayaran kepada kontraktor terjejas?
"Bukankah pengurusan peruntukan dan pemantauan komitmen kewangan merupakan antara tanggungjawab utama kementerian yang dipimpinnya?," tanyanya lagi.




Comments