top of page

Ust Abdul Somad kupas 10 prinsip perpaduan umat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
36 minutes ago
2 min read
Ustaz Abdul Somad (dua dari kanan) mengupas 10 isi penting berkaitan perpaduan dalam sirah Rasullullah
Ustaz Abdul Somad (dua dari kanan) mengupas 10 isi penting berkaitan perpaduan dalam sirah Rasullullah

Akhlak dan penyatuan melalui titik persamaan merupakan asas utama dalam membina perpaduan umat Islam, kata pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Dr Abdul Somad Batubara.


Perkara itu ditekankan beliau ketika menyampaikan syarahan bertemakan perpaduan dalam program Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana, di sini, yang dihadiri hampir 300 peserta kelmarin.


Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hasan yang turut hadir dalam majlis berkenaan berkata, Abdul Somad mengupas 10 isi penting berkaitan perpaduan dengan mengaitkannya kepada sirah Rasulullah SAW, kisah para sahabat dan tabiin serta sejarah Islam di Nusantara.


"Ustaz Abdul Somad menegaskan bahawa akhlak dan penyatuan menerusi titik persamaan merupakan asas utama dalam membina perpaduan umat," katanya dalam hantaran di media sosial.

Dr Zulkifli (kanan) bertemu Abdul Somad
Dr Zulkifli (kanan) bertemu Abdul Somad

Menurut Zulkifli, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan sesi mengemukakan sudut pandang menarik, termasuk berkongsi kisah ahli falsafah Perancis, Roger Garaudy.


Beliau berkata, Anwar menceritakan pengalamannya bertemu Garaudy, tokoh berlatarbelakangkan Kristian Katolik yang kemudian aktif dalam Parti Komunis Perancis sebelum memeluk Islam pada 1982.


Garaudy turut dikenali sebagai tokoh yang lantang mengkritik Zionisme Israel sehingga pernah dipenjarakan.


Zulkifli berkata, Garaudy pernah menerima anugerah King Faisal International Prize atas sumbangannya kepada perkembangan Islam.


Dalam majlis itu, katanya, Anwar turut menyeru umat Islam supaya berpegang teguh kepada akidah serta melaksanakan dakwah secara berhikmah dan bijaksana.


Beliau berkata, penganjuran Majlis Ilmu MADANI membuktikan Kompleks Seri Perdana yang dilakukan secara berkala bukan sahaja mengundang orang awam ke kediaman Perdana Menteri malah turut berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu.


"Majlis Ilmu MADANI menjadi bukti bagaimana kediaman rasmi Perdana Menteri kini jadi pusat ilmu dan memberi peluang kepada ramai pihak untuk mendapat ilmu daripada tokoh ilmuwan hebat dalam dan luar negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page