top of page

CSA sesuai semangat MADANI, buka ruang kerjasama demi bela rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
29 minutes ago
2 min read
Adam Adli bersama Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang media HARAPAN
Adam Adli bersama Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang media HARAPAN


Pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan 13 ahli Parlimen pembangkang semalam dilihat sebagai langkah memperkukuh kelangsungan pentadbiran dan membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar serta pembangunan negara.


Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, perjanjian dan persetujuan itu selaras dengan semangat awal Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa membuka ruang kerjasama dan perkongsian kepentingan, terutama melibatkan rakyat dan melangkaui perbezaan parti.


"Ini sesuai dengan semangat awal yang dinyatakan oleh Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar bahawa kita sentiasa membuka ruang kerjasama dan perkongsian kepentingan terutama sekali melibatkan rakyat dan melangkaui sebarang perbezaan parti.


"Perbezaan ideologi tidak akan menghalang wakil rakyat kita untuk mencapai persetujuan terhadap perkara-perkara yang manfaatnya akan dapat dinikmati secara bersama," katanya.


Beliau berkata demikian mengulas perkembangan itu ketika sidang media Pakatan Harapan (PH) sempena PRN Melaka ke-16.


Adam berkata, CSA itu juga bukan tanda mana-mana pihak yang menandatanganinya menyertai Kerajaan MADANI, sebaliknya mereka kekal bebas dengan pendirian masing-masing.


"Mereka kekal bebas berdiri atas pendirian masing-masing dan boleh terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam Dewan Rakyat sebagai pembangkang termasuk juga hak mereka dipenuhi untuk menegur kelemahan atau dasar yang dijalankan Kerajaan MADANI.


"Paling penting, ini tanda pengukuhan usaha reformasi institusi, cadangan-cadangan seperti mengehadkan tempoh perkhidmatan PM kepada dua penggal atau pun pemisahan peranan Peguam Negara, di mana kedua-duanya adalah langkah penting dalam mengukuhkan agenda perubahan dan juga meningkatkan akauntabiliti," ujarnya lagi.


Semalam, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam anggota Parlimen Bersatu yang diketuai Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh yang lain termasuk anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page