top of page

Kerajaan digesa gubal Akta Kesaksamaan Gender, wajibkan 30% calon wanita

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
1 hour ago
3 min read


Sekumpulan gabungan pertubuhan sivil melalui kempen Projek30% menggesa kerajaan menggubal Akta Kesaksamaan Gender bagi mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan komitmen KEADILAN memenuhi sasaran itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Gabungan itu menyifatkan keputusan KEADILAN mengetengahkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita sebagai langkah positif namun komitmen parti politik terhadap sasaran berkenaan masih tidak menyeluruh.


"Pengumuman KEADILAN membawa kepentingan tersendiri memandangkan Perdana Menteri merupakan pemimpin parti berkenaan dalam kerajaan gabungan.


"Bagaimanapun perwakilan wanita dalam tiga pilihan raya negeri terbaharu di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan kemerosotan sekali gus membuktikan keperluan mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan berkekalan," kata kenyataan itu.


Kenyataan itu dikeluarkan pasukan kempen Projek30% yang diselaraskan oleh EMPOWER, Association of Women Lawyers (AWL) dan Penang Women's Development Corporation (PWDC) dengan sokongan beberapa organisasi masyarakat sivil lain.


Tiga jurucakap yang dinamakan dalam kenyataan itu ialah Pengarah Eksekutif EMPOWER, Gopalan-K Papachan, ahli Exco AWL dan bekas presidennya, Daniella Zulkifili serta Ketua Pegawai Eksekutif PWDC Datuk Ong Bee Leng.


Projek30% berkata penggubalan akta berkenaan penting bagi menghapuskan halangan struktur dan sosiobudaya yang terus menyekat peluang wanita untuk menyertai kepimpinan politik serta proses membuat keputusan.


Pada PRN Melaka kali ini, KEADILAN mengumumkan untuk meletakkan tiga calon wanita daripada sembilan kerusi yang ditandingi bersamaan 33.3 peratus sekali gus melepasi sasaran minimum 30 peratus yang diumumkan parti itu.


Tiga calon berkenaan ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin - mantan ADUN di situ-, Farzana Hayani Mohd Nasir di Klebang dan Esma Eazreen Husin di Rim.


Tawaran inklusif kepada pengundi


Ketua Wanita KEADILAN Datuk Seri Fadhlina Sidek sebelum ini menyifatkan penyertaan 30 peratus calon wanita sebagai tawaran lebih inklusif kepada pengundi selain usaha memperkukuh representasi wanita dalam politik negeri.


Projek30% turut mengingatkan usaha meningkatkan perwakilan wanita bukan hanya melibatkan KEADILAN malah memerlukan komitmen semua parti politik.


Menurut kempen itu, DAP pernah meletakkan lapan calon wanita pada PRN Johor, mewakili 47 peratus daripada keseluruhan calon parti itu manakala AMANAH menyokong cadangan undang-undang bagi menetapkan minimum 30 peratus calon wanita di peringkat Parlimen dan DUN.


Kempen itu turut merujuk gesaan pemimpin Umno supaya sasaran 30 peratus wanita dimasukkan dalam senarai calon pilihan raya serta usaha pemimpin wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengemukakan senarai 10 calon wanita menjelang PRN Sabah 2025.


Dalam perkembangan berkaitan, Projek30% berkata isu berkenaan turut dibangkitkan dalam sidang Parlimen apabila Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Brodi menggesa supaya undang-undang menetapkan sasaran 30 peratus perwakilan wanita dibentangkan segera.


Ahli Parlimen Sekijang Dr Zaliha Mustafa pula membangkitkan persoalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengenai kemungkinan menghidupkan semula cadangan Rang Undang-Undang Kesaksamaan Gender dalam Perwakilan Politik.


Malah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam laporannya pada 22 Jun lalu turut mencadangkan supaya rang undang-undang berkenaan dibentang dan menggesa rundingan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sasaran minimum 30 peratus perwakilan wanita dapat dilaksanakan.


"Parti politik di Malaysia mempunyai sayap wanita yang besar dengan ramai pemimpin berkemampuan dan berpengalaman.


"Namun sumbangan mereka masih tidak memberikan peluang sewajarnya dalam proses membuat keputusan serta pemilihan calon setiap kali pilihan raya berlangsung," kata kenyataan itu.


Projek30% menegaskan kerajaan perlu bertanggungjawab menangani ketidakadilan sistemik yang terus menghalang penyertaan wanita dalam politik.


"Wanita tidak sepatutnya perlu berjuang secara tidak seimbang untuk mendapatkan pencalonan, bertanding dalam pilihan raya dan menduduki jawatan kepimpinan politik," katanya.


Menurut kempen itu, cadangan Akta Projek30% yang disediakan masyarakat sivil sudah menggariskan mekanisme pelaksanaan termasuk kewajipan pelaporan, pemantauan serta insentif kewangan bagi menangani kekurangan perwakilan wanita dalam politik negara.


"Kerajaan digesa menggubal undang-undang berkenaan dengan segera supaya satu kerangka konkrit dapat diwujudkan menjelang pilihan raya umum akan datang sekali gus melangkaui sekadar janji politik," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page