PH tiada cadangan gugurkan Exco Umbi di Selangor


Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengambil sebarang langkah untuk menggugurkan wakil Umno daripada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor susulan cadangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) antara kerajaan negeri dengan blok pembangkang.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, dakwaan bahawa PH membelakangkan Umno berhubung cadangan perjanjian itu adalah tidak berasas.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengambil sebarang langkah untuk menggugurkan wakil Umno daripada barisan Exco.
"PH menghormati Umno sebagai rakan dalam pentadbiran negeri dan sebarang perkara yang menyentuh kerjasama ini wajar dibincangkan secara terus antara kedua-dua pihak," katanya dalam hantaran di Facebook.
Saifudin berkata, Kerajaan Negeri masih belum mencapai keputusan muktamad berhubung rundingan CSA malah tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai pemeteraian perjanjian berkenaan
Katanya, Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri pada 16 November lalu mengesahkan bahawa cadangan yang dikemukakannya berhubung CSA masih menunggu pertimbangan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
"Sehingga kini, tiada pengumuman rasmi bahawa perjanjian itu telah dimeterai," katanya dalam kenyataan.
Isu berkenaan timbul susulan rundingan Kerajaan Negeri dengan Bersatu bagi memeterai CSA yang bertujuan mendapatkan sokongan blok pembangkang terhadap urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk pembentangan dan kelulusan belanjawan.
Menteri Besar sebelum ini dilaporkan berkata, asas persefahaman dengan Bersatu telah dipersetujui namun beberapa perkara sensitif masih perlu diperhalusi sebelum perjanjian dimuktamadkan.
Rundingan itu turut mencetuskan persoalan mengenai implikasinya terhadap komposisi pentadbiran negeri khususnya kedudukan wakil Umno dalam barisan Exco susulan cadangan yang dikaitkan dengan penggantian lantikan politik.




Comments