Peletakan jawatan MB: BN tidak wajar dahului perkenan Yang di-Pertuan Besar


Kita perlu mengikut proses, prosedur dan mendapatkan perkenan Yamtuan - Dr Jufitri
Tindakan BN mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim sebelum menghadap dan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikecam pelbagai pihak.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha berkata, semua pihak perlu menunggu perkenan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk kemudian mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kedudukan Menteri Besar.
Perkara itu, katanya, mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan terutama di Negeri Sembilan yang menjunjung adat.
"Ya, mesti memberikan ruang kepada Menteri Besar menghadap Yamtuan dahulu sebelum dibincangkan semula di peringkat parti dan sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.
"Kita perlu mengikut proses, prosedur dan mendapatkan perkenan Yamtuan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan berhubung kemelut yang sedang melanda Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) itu.
Pada 16 November lalu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh didakwa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, namun Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Sehari kemudian, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Sesi menghadap berkenaan bermula kira-kira jam 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.
Berdasarkan laporan media, Tuanku Muhriz dalam pertemuan berkenaan menitahkan Ismail meneruskan tugasnya sebagai MB. Manakala semalam, menerusi perkongsian di Facebook, Ismail dilihat masih menjalankan tugas seperti biasa apabila menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan Kerajaan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS).




Comments