REE: Bangunkan keseluruhan rantaian industri, huluan, pertengahan, hiliran


Kerajaan akan memastikan sebarang usaha membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) di negara ini tertakluk kepada peraturan domestik yang ketat, termasuk menghormati kedaulatan negara serta kepentingan ekonomi sebelum aktiviti perlombongan komersial diperluaskan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, persefahaman antara Malaysia dan Perancis berhubung pembangunan industri REE bertujuan meneroka kerjasama bagi membangunkan keseluruhan rantaian industri berkenaan, merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Beliau berkata, persefahaman itu pada asalnya bermula melalui perjanjian perniagaan antara perniagaan (B2B) membabitkan syarikat Carester dan Malaco sebelum diperluaskan kepada kerjasama dengan pihak Perancis.
"Kita menekankan beberapa perkara iaitu pertama untuk kita bekerjasama dan menumpukan kepada mineral kritikal secara khususnya REE yang boleh membawa kepada kepentingan ekonomi.
"Namun pada masa sama, menghormati kedaulatan negara dan juga kerangka perundangan domestik. Jadi kita ada larangan moratorium untuk eksport REE dan kita ada garis panduan yang disediakan.
"Kita juga akan menetapkan supaya ada usaha-usaha untuk meneruskan perjanjian persefahaman melalui penubuhan kumpulan kerja bersama dengan pihak Malaysia dan Perancis," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung perkembangan terbaharu kerjasama industri REE susulan lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia baru-baru ini, termasuk nilai tambah serta penambahbaikan yang bakal dilaksanakan berbanding kerjasama sebelum ini.
Syed Ibrahim berkata, kerjasama itu turut merangkumi pertukaran pengetahuan teknikal bagi membolehkan Malaysia meningkatkan penguasaan teknologi dalam industri berkenaan.
Selain itu ujar Syed Ibrahim lagi, misi perdagangan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut menjadi antara pendekatan untuk memperkukuh kerjasama serta membuka peluang pembangunan industri REE negara.
"Secara keseluruhannya, kita mahu melihat perjanjian ini berjalan dengan baik, tetapi kita juga tidak terhad kepada rundingan dengan mana-mana negara lain," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang.




Comments