Menteri Agama serah sumbangan kepada anggota polis cedera ditetak


Hebat kepakaran anak Malaysia. Lans Koperal Thierry Rodger, Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Hussain menunjukkan contoh teladan kepada kita semua rakyat Malaysia
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyerahkan sumbangan kepada Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy yang terputus tangan akibat ditetak seorang lelaki warga asing dalam insiden di Desa Amanpuri, Kepong baru baru ini.
Sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan sumber am dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) itu diserahkan ketika beliau menziarahi anggota polis berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Dr Zulkifli berkata, beliau bergegas ke HKL sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang selepas menghadiri program Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Sabah.
Menurutnya, Thierry yang berasal dari Sibu, Sarawak kini sedang menjalani rawatan selepas mengalami kecederaan serius dalam insiden berkenaan.
Dalam kunjungan itu, beliau turut berkesempatan bertemu Ketua Unit Pembedahan Tangan dan Mikrosurgeri HKL, Dr Allan Ravi Rajagopal yang berjaya melakukan pembedahan menyambung semula tangan anggota polis terbabit.
Turut ditemui ialah Dr Aziz Sabbir Hussain yang menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan berkenaan.

"Hebat kepakaran anak Malaysia. Lans Koperal Thierry Rodger, Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Hussain menunjukkan contoh teladan kepada kita semua rakyat Malaysia.
"LK Thierry sanggup menggadaikan nyawa untuk menjaga keselamatan.
"Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Hussain serta pasukan berjaya melakukan pembedahan menyelamatkan tangan LK Thierry," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Dr Zulkifli berkata, pengorbanan anggota polis itu serta kepakaran pasukan perubatan berkenaan mencerminkan semangat perpaduan dan saling membantu tanpa mengira perbezaan agama serta bangsa.
Katanya, semangat #KitaKawan membuktikan rakyat Malaysia mampu hidup dalam suasana harmoni dengan mengutamakan nilai kemanusiaan.
"Dengan semangat #KitaKawan, berlainan agama berlainan bangsa tetapi bantu membantu sebagai rakyat Malaysia, saudara setanah air.
"Tiada kebencian, hanya kasih sayang sesama manusia," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Thierry, Dr Allan, Dr Aziz dan seluruh pasukan pembedahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), HKL, MAIWP, YWM serta semua pihak yang terlibat membantu anggota polis berkenaan.




Comments