Malaysia-AS mahu bangunkan awan AI berdaulat, bawah kendalian negara


Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama bagi menyokong pembangunan kemudahan Awan (cloud) Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Malaysia, termasuk menerusi penyertaan syarikat teknologi dari negara itu.
Hasrat kerjasama berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump, sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam bidang AI serta teknologi digital.
Menurut kenyataan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysia akan menentukan reka bentuk, kaedah perolehan dan pengaturan operasi bagi kemudahan Awan AI Berdaulat itu.
Infrastruktur serta data yang dihoskan pula akan ditempatkan di Malaysia, tertakluk kepada undang-undang negara, selain kekal dalam pemilikan, jagaan dan kawalan Malaysia.
Pembangunan tenaga kerja AI tempatan
Antara bidang kerjasama yang berpotensi diteroka termasuk bantuan teknikal dan latihan bagi membangunkan tenaga kerja AI tempatan.
Kerjasama itu juga bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia mengendalikan infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan.
Bagaimanapun, penyertaan syarikat teknologi AS tertakluk kepada undang-undang serta proses perolehan Malaysia, keperluan teknikal dan keselamatan, selain pemeteraian perjanjian berkaitan.
Dalam perkembangan sama, AS menyatakan hasrat menyediakan dana berjumlah AS$50 juta menerusi program SI SPARK bagi menyokong inisiatif pembangunan Awan AI Berdaulat Malaysia.
Cadangan bantuan itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan kedua-dua kerajaan berhubung terma dan skop pembiayaan berkenaan.
Menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif, Malaysia dan AS turut menyatakan komitmen untuk mempererat kerjasama dalam bidang AI dan teknologi digital yang selamat, dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan serta autonomi kawal selia setiap negara.
Inisiatif itu mencerminkan usaha Malaysia membangunkan keupayaan AI dan infrastruktur digital sendiri, di samping membuka ruang kerjasama teknologi antarabangsa tanpa mengetepikan kepentingan serta kawalan negara terhadap data dan sistem digitalnya.




Comments