top of page

Kematian murid: KPM arah siasatan menyeluruh, teliti pematuhan keselamatan

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
2 hours ago
2 min read
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek. Gambar arkib
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek. Gambar arkib

Jemaah Nazir diarahkan hadir ke sekolah itu bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan tatacara keselamatan, manakala siasatan polis diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan pemeriksaan terhadap aspek pengurusan dan pematuhan prosedur keselamatan di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak, susulan kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sekolah berkenaan.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Jemaah Nazir diarahkan hadir ke sekolah itu bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan tatacara keselamatan, manakala siasatan polis diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian.


Beliau menegaskan KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan sekiranya perkara itu dibuktikan melalui hasil siasatan.


Menurutnya, kementerian turut memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.


CCTV diserahkan kepada polis


Dalam perkembangan berkaitan, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) turut berada di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.


Beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan juga diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu proses siasatan.


Pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi Khamis.


Selain tindakan siasatan, KPM turut mengambil langkah menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah yang terkesan dengan kejadian itu.


Murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026, manakala bantuan psikososial disediakan kepada mereka yang memerlukan.


Fadhlina turut merayu orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa sementara pihak berkuasa melengkapkan siasatan.


Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page