Malaysia rekod pelaburan diluluskan RM350.4 bilion, meningkat 20.7 peratus


Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM350.4 bilion bagi tempoh Januari hingga September lalu, meningkat 20.7 peratus berbanding RM290.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu dijangka menjana 152,090 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
Daripada jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan itu, sebanyak RM212.3 bilion atau 61 peratus merupakan pelaburan asing, manakala RM138.1 bilion atau 39 peratus lagi adalah pelaburan domestik.
"Prestasi berkenaan membuktikan keyakinan tinggi pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan politik, kejelasan dasar serta hala tuju Ekonomi MADANI," katanya dalam hantaran di media sosial.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kejayaan menarik pelaburan bukan sekadar diukur berdasarkan nilai yang direkodkan sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang dapat dirasai rakyat.
"Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memastikan setiap pelaburan ini direalisasikan menjadi pekerjaan berkualiti, memacu industri tempatan serta memberi limpahan ekonomi yang benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.




Comments