Isu MB N Sembilan: Rakyat telah beri mandat, mengapa BN main wayang?


Mandat telah diberi pada PRN lepas. Kita (Pakatan Harapan) akur dengan kekalahan, tapi tak boleh terima wayang dan sandiwara politik BN yang dikatakan cuba menaikkan individu (tertentu) berbanding melaksanakan mandat dan tanggungjawab yang diberi - Raihan
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) dalam isu peletakan jawatan Menteri Besar (MB) Datuk Ismail Lasim sebagai satu percaturan politik yang membelakangkan mandat rakyat dan dilihat lebih mengutamakan usaha menaikkan individu tertentu ke jawatan berkenaan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Raihan Md Idris mendakwa perkembangan itu dilihat sebagai usaha BN untuk menaikkan ‘calon’ direstui pemimpin tertentu bagi memegang jawatan Menteri Besar.
"Tetapi tindakan Umno-BN ini boleh kira sebagai tikam belakang kawan sendiri.
"Sebab seperti sedia maklum anak Ismail sendiri menyatakan yang ayah beliau tidak mengetahui isu peletakan jawatan ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar yang pengumumannya dibuat oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Terdahulu, anak Ismail iaitu Naim mempersoalkan tindakan BN mengeluarkan kenyataan media berhubung peletakan jawatan bapanya, sedangkan keputusan berkenaan didakwa masih belum mendapat pengesahan daripada pihak Istana.
Menerusi kenyataan di laman Instagramnya, beliau turut mempersoalkan pihak yang mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan tersebut, serta sama ada ia dibuat sendiri oleh bapanya.
"Belum apa-apa selesai, dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri. Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam," katanya dipetik.
Justeru, susulan perkembangan politik di Negeri Adat Perpatih itu, Raihan menyeru semua wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya tiga bulan lalu agar melaksanakan tanggungjawab dan memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan sebaiknya.
"Mandat telah diberi pada PRN lepas. Kita (Pakatan Harapan) akur dengan kekalahan, tapi tak boleh terima wayang dan sandiwara politik BN yang dikatakan cuba menaikkan individu (tertentu) berbanding melaksanakan mandat dan tanggungjawab yang diberi," katanya lagi.
Pada 16 November lalu, Ismail didakwa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menerusi surat peletakan jawatan yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkuat kuasa pada tarikh tersebut.
Dr Zambry berkata, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.
Petang kelmarin, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh susulan kemelut semasa yang melanda negeri berkenaan.
Difahamkan, sesi menghadap itu bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang, sementara butiran lanjut mengenainya belum dapat dipastikan. Bagaimanapun, berdasarkan laporan media, Ismail diminta oleh Yang di-Pertuan Besar untuk meneruskan tugasnya seperti biasa.




Comments