Asia Pasifik pertahan keterbukaan ekonomi, kerjasama serantau - PM


Ukuran sebenar kemakmuran bersama bukan sekadar pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu dilihat melalui pewujudan peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan taraf hidup dan pengagihan peluang secara lebih saksama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara Asia Pasifik supaya terus mempertahankan keterbukaan dan kerjasama ekonomi ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
Beliau berkata, sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan hukum dan peraturan perlu diperkukuh manakala integrasi ekonomi serantau perlu diperdalam bagi memastikan kestabilan serta kemakmuran bersama.
Menurut Anwar, perkara itu ditegaskan ketika beliau menyampaikan pandangan pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 di Shenzhen, China, pagi tadi.
Anwar berkata, ukuran sebenar kemakmuran bersama bukan sekadar pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu dilihat melalui pewujudan peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan taraf hidup dan pengagihan peluang secara lebih saksama.
Beliau turut menegaskan prinsip berkenaan perlu menjadi panduan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), termasuk memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada semua negara.
Katanya, Malaysia menyokong tatakelola digital dan AI yang berteraskan etika, selain memperkukuh keselamatan siber serta memastikan negara-negara Selatan Global tidak tercicir daripada manfaat transformasi teknologi.
Hargai usaha China rangkul kuasa besar
Dalam ucapannya, Anwar turut menghargai prakarsa Presiden China, Xi Jinping dalam merangkul Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak APEC kali ini.
Menurut beliau, usaha sedemikian mampu membuka ruang kepada dialog dan persefahaman yang bermakna ke arah mewujudkan keamanan serta keharmonian berkekalan.
Beliau turut mengangkat gagasan Confucius mengenai keharmonian dalam kepelbagaian sebagai pedoman penting dalam menghadapi cabaran dunia ketika ini.
Anwar berkata, Asia Pasifik berupaya menunjukkan kepada dunia bahawa persaingan boleh bergerak seiring dengan kerjasama manakala hasil kemajuan ekonomi pula perlu dikongsi secara lebih adil dan manusiawi.
Beliau menegaskan rantau ini perlu terus menjadi ruang kerjasama yang terbuka, inklusif dan berdaya tahan, meskipun berdepan perbezaan kepentingan serta persaingan antara kuasa besar.




Comments